Motosikal ditunggang dua lelaki yang maut selepas bertembung dengan Proton Exora di Kilometer 37 Jalan Merotai, petang tadi. FOTO ihsan pembaca
Norasikin Daineh


Tawau: Dua maut selepas motosikal yang mereka tunggang bertembung dengan Proton Exora di Kilometer 37 Jalan Merotai, dekat sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira 3 petang itu, mangsa Arsyad Mohamad, 31, dan rakannya Azwan Mappi, 26, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, hasil siasatan mendapati kejadian berlaku ketika pemandu kenderaan Proton Exora bersama anaknya dalam perjalanan dari arah Tawau menuju ke Kalabakan.

"Ketika kejadian, pemandu terbabit cuba memintas sebuah kenderaan lain dan tidak menyedari motosikal datang dari arah bertentangan.

"Akibat pertembungan itu, penunggang dan pembonceng motosikal terseret ke bahu jalan sebelah kiri manakala Exora terbabit hilang kawalan dan terbabas masuk ke dalam parit di sebelah kanan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Fadil berkata, pemandu kenderaan yang berusia 55 tahun dan anak perempuannya berusia 35 tahun hanya mengalami cedera ringan.

"Bagaimanapun, pemandu terpaksa ditahan selepas disyaki memandu dengan cuai dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 January 2017 @ 10:44 PM