Mohd Hafizee Mohd Arop


Seri Iskandar: Polis menahan empat lelaki dipercayai pengedar dadah dan merampas 137.22 gram heroin serta 6.12 gram syabu keseluruhan bernilai RM15,000 dalam dua serbuan berasingan di Bota, Seri Iskandar, semalam dan Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Aziz Hassan berkata, dalam serbuan pertama Ahad lalu, polis daripada Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah menahan tiga lelaki berusia 40 hingga 51 tahun di dalam rumah di Bota, di sini pada 5 petang.

Katanya, pemeriksaan menemui 26 paket plastik lutsinar disyaki dadah jenis heroin seberat 25.22 gram serta syabu seberat 5.60 gram.

Menurutnya, serbuan kedua di rumah berasingan semalam pula menahan lelaki berusia 30-an dan merampas dadah jenis heroin seberat 112 gram dan syabu seberat 0.52 gram.

"Tiga suspek pertama direman selama lima hari bermula Sabtu lalu dan seorang lagi suspek direman tujuh hari bermula hari ini manakala ujian air kencing mendapati keempat-empat suspek positif morfin.

"Suspek yang ditahan semalam turut mempunyai 11 rekod jenayah membabitkan lima kes jenayah serta enam kes dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya dalam sidang media di IPD Perak Tengah, di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 January 2017 @ 11:51 AM
AZIZ menunjukkan dadah yang berjaya dirampas. FOTO Mohd Hafizee Mohd Arop