Mohamad Zulhairie Manzaidi


Tumpat: Seorang lelaki berusia 22 tahun ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor ketika cuba menyeludup masuk 20 kampit (500kg) beras bernilai RM6,500.

Dia ditahan dalam serbuan kira-kira 7.45 malam semalam di Jalan Bendang Pak Yong, di sini ketika dalam perjalanan menghala ke Jubakar.

Komander PPM Wilayah Tiga, Asisten Komisioner Zulkafli Sariaat berkata, sebelum itu, sepasukan anggota yang menjalankan tugas risik menerima maklumat awam mengenai kegiatan terbabit.

"Tiba di tempat kejadian, anggota menemui sebuah kereta Proton Saga dipandu lelaki itu dan menahannya. Pemeriksaan lanjut menemui sejumlah beras di tempat duduk penumpang belakang dan but kereta.

"Dia kemudian ditahan dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Padi dan Beras Negara 1994 dan akan dirujuk kepada Unit Kawal Selia dan Padi Negeri Kelantan," katanya ketika ditemui di Markas Operasi PPM Pengkalan Kubor, di sini, hari ini.

Terdahulu pada 6.45 pagi hari sama, pasukan melakukan rondaan bot menemui 10 kampit beras berjumlah 250 kilogram cuba diseludup masuk oleh seorang individu di pangkalan haram Tanjung di sini.

Beliau berkata, suspek bagaimanapun sempat melarikan diri apabila melihat bot mendekati lokasi.

"Pasukan sama juga mematahkan cubaan menyeludup keluar sembilan tong berisi 270 liter petrol bernilai RM567 di pangkalan haram Tualang pada 9 pagi.

"Tiada tangkapan kerana lelaki itu sempat melarikan diri. Jumlah keseluruhan rampasan untuk tiga serbuan itu bernilai RM7,817," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 January 2017 @ 12:19 PM
Zulkafli Sariat (kanan) bersama Ahmad Amri memeriksa sebahagian barang rampasan selepas sidang media di pejabat PPM Pengkalan Kubor, Tumpat. FOTO Nik Abdullah Nik Omar