KIM Yong-min (Febby)
Hazril Md Nor
Gen.y@hmetro.com.my


Sebut saja nama Chai Yee Fung (Mushi), siapa tidak kenal pemain veteran dalam industri e-sukan Dota 2? Peranannya sebagai kapten Fnatic membuatkan Kim Yong-min (Febby), 23, mengagumi kehebatannya lalu menjadikan anak muda berusia 26 tahun itu sebagai idolanya.

Oleh itu, selepas prestasi yang kurang memuaskan bersama pasukan negaranya iaitu MVP Phoenix dari Korea, Kim memilih untuk bersama Fnatic, sekali gus membuka lembaran baru bagi kariernya sebagai pemain ‘game’ profesional.

Katanya ketika ditemui penulis di Genting Highlands baru-baru ini, dia berbangga dapat bekerjasama dengan pemain veteran Dota 2 dalam satu kumpulan.

“Saya sudah lama mengenali Mushi dan dia ada matlamat, tegas dan disegani. Saya amat menghormatinya kerana pengalamannya yang luas dalam Dota 2,” katanya.

Kim berkata, dia lebih gemar bersama pemain berpengalaman dan boleh memberi motivasi kepada dirinya untuk bermain dengan lebih baik.

“Banyak lagi yang saya perlu belajar. Jadi saya perlukan seorang mentor untuk meningkatkan prestasi dalam kumpulan dan mampu bermain sebagai satu pasukan,” katanya.

Rutin harian

Berceritakan mengenai rutin hariannya yang padat, anak muda yang berasal dari Incheon, Korea ini sanggup berkorban masa untuk karier.

“Jadual bermula pada jam 2 petang dan kemudian saya perlu bersiap-siap untuk makan tengah hari. Seterusnya, disambung dengan sesi latihan dan perbincangan bersama ahli kumpulan pada jam 3 petang sehingga 6 petang.

“Jika tiada apa-apa aktiviti luar, sesi latihan boleh dilanjutkan sehingga jam 12 tengah malam. Kemudian, saya akan menyambung bermain perlawanan ‘ranked’ sehingga waktu fajar dan selebihnya adalah waktu berehat.

“Sebenarnya rutin harian kami bukan setakat bermain ‘game’ tapi lebih daripada itu. Ia meliputi aspek latihan, perbincangan, analisis dan sebagainya,” katanya.

Kim berkata, rutin itu mungkin kedengaran agak keterlaluan namun baginya setiap yang diimpikan perlu ada pengorbanan.

“Sebagai pemain ‘game’ profesional, sudah tentu kita perlu berkorban banyak perkara termasuk masa bersama keluarga.

“Tipulah kalau saya tak rindukan hidangan dan ahli keluarga di Korea. Bagaimanapun, saya faham sebagai ahli baru Fnatic, sudah menjadi tanggungjawab saya untuk komited kepada pasukan kerana itu lebih utama sekarang ini,” katanya.

Galas tanggungjawab

Kini tanggungjawabnya lebih besar kerana perlu berdepan cabaran selain mempamerkan prestasi memuaskan untuk pasukan dan peminat.

“Inilah cabaran paling sukar apabila menjadi ahli baru dalam pasukan yang dikenali seperti Fnatic. Kita perlu cepat adaptasi dan berikan persembahan terbaik.

“Selain kepuasan untuk diri sendiri, saya akui tanggungjawab kini lebih besar kerana perlu mewakili Korea Selatan dan Malaysia. Apa-apa pun, saya sudah bersedia,” katanya.

INFO

• Pernah bermain untuk pasukan MVP Phoenix

• Kini menjadi pemain posisi empat untuk Fnatic

• Pernah menyertai The International, kejohanan berprestij tahunan Dota 2.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 January 2017 @ 12:28 PM