Keadaan dua kenderaan yang bertembung di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands, dekat Simpang Pulai. FOTO Ihsan Bomba
Keadaan dua kenderaan yang bertembung di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands, dekat Simpang Pulai. FOTO Ihsan Bomba
Mohd Hafizee Mohd Arop


Ipoh: Lima cedera termasuk tiga kanak-kanak selepas kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dinaiki mereka bertembung dengan sebuah bas persiaran di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands, dekat Simpang Pulai, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, dua pemandu dan enam penumpang bas persiaran itu bagaimanapun terselamat dan dipercayai tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai, Pegawai Bomba Kanan 2 Abdul Manaf Hashim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 11.53 pagi dan sebaik tiba mendapati seorang lelaki berusia 50-an tersepit di tempat duduk pemandu.

Katanya, anggota kemudiannya mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan alatan khas sebelum dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) menggunakan EMRS BBP Simpang Pulai.

"Isteri mangsa berusia 30-an yang duduk di tempat duduk penumpang hadapan serta tiga anak pasangan itu yang duduk di bahagian belakang tidak tersepit namun turut mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan.

"Keempat-empat mereka dibawa ke HRPB menggunakan EMRS BBP Gopeng dan ambulans hospital manakala penumpang bas serta pemandu terselamat," katanya ketika dihubungi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 January 2017 @ 2:38 PM