MAH
myMetro

Putrajaya: Sektor komoditi tempatan dijangka mencatatkan pertumbuhan pendapatan eksport antara lima hingga lapan peratus tahun ini berikutan pengukuhan penguasaan pasaran sedia ada serta penerokaan pasaran baaru.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong berkata, pengukuhan sektor komoditi pada tahun ini dijangka dicapai hasil rundingan perdagangan bebas dengan Iran selain tinjauan pasaran baru di Asia Barat dan selatan Eropah.

Beliau berkata, sektor komoditi mencatatkan pertumbuhan nilai eksport sebanyak 3.2 peratus dari Januari hingga November tahun lalu berbanding tempoh sama pada 2015 kepada RM110.6 bilion.

“Saya yakin jumlah keseluruhan nilai eksport komoditi untuk 2016 akan mengatasi nilai keseluruhan pada 2015 walaupun banyak cabaran dihadapi sektor ini tahun lalu,” katanya selepas Majlis Perhimpunan Bulanan dan Amanat Tahun Baharu di kementeriannya, semalam.

Menurutnya, minyak sawit mentah (MSM) dijangka mencatatkan paras purata antara RM2,700 hingga RM2,800 satu tan metrik tahun ini.

Katanya, bagi getah pula, purata harga SMR 20 pada Disember lalu mencecah RM8.36 sekilogram, paras tertinggi sejak April 2013 disebabkan pengeluaran getah yang rendah oleh Thailand akibat musim hujan.

“Jadi, kita menyasarkan pada suku pertama tahun ini, purata harga getah asli SMR 20 kekal kukuh pada paras RM8 sekilogram,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, kementeriannya tetap berwaspada dengan harga pasaran minyak mentah yang turut mempengaruhi sektor berkenaan selain kemungkinan kesan pengenalan dasar baru bakal Presiden Amerika, Donald Trump terhadap ekonomi negara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 January 2017 @ 8:17 AM