Muhammad Apendy Issahak


Ipoh: Treler terbakar di Kilometer 260.1 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara berhampiran Terowong Menora, di sini dan mengakibatkan laluan terhalang.

Dalam kejadian 7.40 pagi itu, laluan berkenaan terpaksa ditutup untuk semua kenderaan bagi operasi pemadaman oleh pihak bomba.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Meru Raya, Mohd Fauzi Hashim berkata, pihaknya dengan bantuan polis terpaksa menutup laluan berkenaan mulai 7.50 pagi.

Menurutnya, kebakaran itu membabitkan bahagian kepala treler terbabit di laluan kiri lebuh raya berkenaan.

"Kami mengambil masa kira-kira setengah jam untuk memadamkan kebakaran kepala treler berkenaan yang dianggarkan terbakar 40 peratus.

"Selepas selesai kerja pemadaman, lorong kanan dibuka semula kepada kenderaan pada 8.20 pagi," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, tiada mangsa mengalami kecederaan dan ketika kejadian lori berkenaan yang membawa muatan air minuman dalam perjalanan dari Shah Alam ke Sungai Petani.

Sementara itu menurut laman Twitter PLUS, sehingga 9 pagi, laluan kiri di kawasan kemalangan masih terhalang dan trafik perlahan sejauh kira-kira dua kilometer ke arah utara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 January 2017 @ 9:48 AM
RAKAMAN CCTV kejadian treler terbakar berhampiran Terowong Menora. FOTO ihsan LLM
KEADAAN treler yang terbakar. FOTO ihsan Bomba