ALOR SETAR 17 JANUARY 2017. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak beramah mesra bersama orang ramai sambil diiringi Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah ketika hadir pada Majlis Bersarapan Pagi Bersama Penduduk Setempat di Medan Selera Alor Merah. NSTP/SHARUL HAFIZ ZAM
Aizat Sharif dan Dziyaul Afnan Abdul Rahman
mohd.aizat@hmetro.com.my


Alor Setar: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersetuju untuk memperuntukkan dana berjumlah RM822,000 bagi kerja naik taraf Masjid Ar-Rahman di Alor Merah, Alor Setar.

Timbalan Pengerusi Masjid Ar-Rahman, Datuk Abdul Halim Hassan berkata, perkara berkenaan diberitahu oleh Perdana Menteri ketika bersarapan bersama-sama penduduk Alor Merah di Medan Selera Alor Merah di sini hari ini sempena lawatan ke Kedah selama dua hari bermula semalam.

“Pada dasarnya dia bersetuju untuk meluluskan peruntukan yang diminta oleh kami (Jawatankuasa Masjid Ar-Rahman) dalam kerja naik taraf serta pembinaan beberapa prasarana di masjid seperti pembinaan kelas tahfiz al-Quran, pagar masjid dan tanah perkuburan.

“Masjid ini kini sudah 80 peratus siap kerja pembinaannya dan apabila siap pada Mac depan, ia mampu memuatkan antara 800 hingga 1,000 jemaah pada satu masa berbanding antara 500 hingga 600 jemaah sahaja sebelum ini,” katanya ketika ditemui selepas majlis berkenaan.

Masjid Ar-Rahman mula dibina pada 1958 dan siap serta dirasmikan pada 1961 oleh Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Sementara itu, Najib sudi meluangkan masa selama sejam untuk bersarapan bersama kira-kira 2,000 orang yang terdiri daripada penduduk di sekitar Alor Merah.

Ketibaan Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor diiringi oleh Menteri Besar kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Turut mengiringi mereka adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Othman Aziz dan barisan Exco Negeri Kedah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 January 2017 @ 11:30 AM