MENJUAL patung untuk menjana pendapatan selain terapi untuk melawan penyakitnya.
FIRDAUS bersama koleksi patung terpakai kepunyaannya.
SEBAHAGIAN koleksi patung kepunyaan Firdaus yang akan dijual untuk pelanggan.
FIRDAUS bersama isterinya, Norza Hashim.
Redzuan Muharam


Sanggup tidur di ruang tamu. Itu pengorbanan seorang pesakit Anxiety Disoder (AD), Muhammad Firdaus Mohamad Baidrul Hisamnudin, 30, selepas berhenti kerja dan menjadi peniaga patung terpakai sepenuh masa sejak September tahun lalu.

Dikenali dengan gelaran Abam Teddy atau Abang Patung, anak kelahiran Raub, Pahang itu berkata, dia terpaksa berbuat begitu kerana ruang kediamannya agak terhad dan hanya dua bilik tidur yang ada saja boleh digunakan sebagai tempat simpanan patung berkenaan.

Firdaus berkata, dia tidak kisah ‘beralah’ dengan tidur di luar malah isteri turut memahami minatnya yang gemar mengumpul patung sejak di bangku sekolah.

“Sebelum ini, saya bekerja sebagai kakitangan kerajaan, tetapi tekad meletak jawatan Julai tahun lalu untuk berehat.

“Sejak berhenti, saya banyak masa terluang jadi timbul idea menjual patung terpakai yang dibeli secara borong daripada pembekal.

“Pada mulanya, saya hanya menjualnya untuk suka-suka, tetapi bertambah seronok apabila dapat memenuhi permintaan pelanggan terutama kanak-kanak yang memang menggemari patung. “ katanya yang menjual patung serendah RM5 di laman Facebook miliknya.

Demi kepuasan pelanggan, Firdaus berkata , dia akan membersihkan patung terpakai itu terlebih dulu sebaik membelinya daripada pembekal.

Menurut Firdaus, cucian itu cara memastikan kebersihan patung walaupun ia barangan terpakai.

“Walaupun kualitinya tidak seperti yang dibeli di kedai, masih ramai rupanya berminat dengan permainan terpakai itu.

“Buktinya, saya boleh meraih pulangan sehingga RM100 sehari jika bernasib baik, tetapi pernah juga pulang dengan wang RM20 saja, bergantung kepada keadaan.

“Namun, saya tidak boleh memikirkan keuntungan saja dan itu sebabnya saya amat menitikberatkan soal kebersihan,” katanya yang menjadikan patung terapi untuk melawan penyakitnya.

Firdaus berkata, dia tidak hanya menjual patung, tetapi turut menawarkan khidmat penghantaran permainan itu secara terus kepada pelanggan.

Menurut Firdaus, perkhidmatan itu alternatif bagi membantu pelanggannya yang ingin melakukan kejutan untuk rakan atau insan tersayang ketika meraikan sambutan hari jadi atau majlis lain.

“Jarang kita lihat peniaga patung terpakai menawarkan khidmat tambahan seperti in,i tetapi saya buat untuk mencari kelainan.

“Ia juga lebih kepada usaha untuk memenuhi permintaan pelanggan dan selepas ini, saya cuba untuk belajar cara menggubah bunga dan patung untuk dijual pada majlis konvokesyen,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 January 2017 @ 12:36 PM