Tong gas bernilai RM82,053 ribu yang dirampas ketika ops dijalankan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) Putrajaya di Jalan Kebun Nenas. Foto Shazreen Zamzuri
Siraj Mohd Zaini

Shah Alam: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Putrajaya melumpuhkan sindiket penyelewengan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi membabitkan nilai rampasan sebanyak RM82,053 di sebuah stor haram, di Jalan Kebun Nenas, di sini, hari ini.

Timbalan Pengarah (Cawangan Operasi Khas) KPDNKK Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, serbuan kira-kira jam 2 petang itu dilakukan hasil risikan pihaknya mengenai aktiviti pemindahan gas secara haram dari silinder 14 kilogram(kg) kepada silinder 50kg.

"Sebanyak 239 tong LPG 14kg, 80 tong LPG 50 kg dan sebuah lori dirampas menerusi serbuan berkenaan.

"Modus operandi sindiket adalah dengan mengambil bekalan LPG dari mana-mana sumber dan memindahkan ke silinder industri sebelum dipasarkan kepada industri di sekitar Lembah Klang," katanya ketika ditemui.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan pihaknya mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 January 2017 @ 5:26 PM