Zul dan Zahiran dikatakan sudah tidak bercinta lagi. FOTO B Nara

Kuala Lumpur: Pelakon popular Zul Ariffin memilih mengunci mulut apabila ditanya mengenai desas-desus hubungan cintanya dengan pelakon jelita Zahirah Macwilson sudah berakhir.

Zul berkata, dia enggan mengulas perkara itu kerana ia akan memberi kesan kepada perjalanan kariernya.

“Maaf, saya tidak akan buka mulut soal peribadi. Bukan mengada-ngada atau mahu berahsia, tetapi bagi saya kisah peribadi hanya akan buat kerjaya saya jadi sukar.

“Saya kena menjaga pihak yang melantik saya sebagai duta. Cerita sebegini hanya akan membuatkan mereka berasa tidak selesa.

“Lagipun saya sudah letih apabila sering diajukan pertanyaan mengenai kisah peribadi sejak dua tahun lalu. Cukup-cukuplah saya dihimpit pelbagai kontroversi,” katanya kepada Harian Metro.

Zul berkata, dia tidak ambil pusing sekiranya ada pihak membuat spekulasi Zahirah bukan lagi kekasihnya.

“Apapun yang berlaku di antara kami, saya tetap dengan pendirian untuk mengunci mulut.

“Saya tidak kisah dengan apa sahaja andaian orang. Fokus saya kini hanyalah pada kerjaya dan akan berusaha melakukan yang terbaik,” katanya.

Dalam pada itu, Zul mengakui sudah bersedia untuk mendirikan rumah tangga dan menyerahkan soal jodoh kepada Allah SWT.

“Niat untuk berkahwin sudah lama ada tetapi mungkin belum sampai masa.

“Saya percaya Allah sudah susun segalanya dan sebagai manusia kita kena berserah serta bersedia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 January 2017 @ 7:50 PM