Gambar fail Qaisara Batrisya yang menghidap biliary atresia yang menerima bantuan dari Nadi Permata di Pusat Perubatan Universiti Malaya. FOTO Nurul Shafina Jemenon
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Qaisara Batrisya Ahmad Ariffin, 2, kanak-kanak yang menghidap biliary atresia atau kegagalan fungsi hati meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di China, 6.25 petang tadi.

Perkara berkenaan disahkan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Nadi Permata (Nadi Permata) Marsilayuhaini Baharuddin yang menerima berita daripada pakar perubatan di Hospital Renji, Shanghai tempat Qaisara dirawat.

Marsilayuhaini berkata, kanak-kanak itu meninggal dunia di pangkuan ibu bapanya, Che Rohyati Mohamad, 37, dan Ahmad Ariffin Abd Hamid, 41, selepas lebih dua tahun bertarung dengan penyakit berkenaan.

"Qaisara sepatutnya menjalani pemindahan hati kali kedua, tetapi kesihatannya yang tidak menentu menyebabkan pembedahan itu ditangguh sehingga keadaannya benar-benar stabil.

"Minggu lalu, keadaan Qaisara mula stabil selepas dipantau rapi pakar perubatan di Hospital Renji tetapi malam tadi kesihatannya tiba-tiba merosot.

"Doktor sudah buat yang terbaik untuk selamatkan Qaisara tetapi Allah lebih menyayangi dia," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Katanya, beliau akan berangkat ke China awal pagi esok bagi membantu ibu bapa kanak-kanak itu berkaitan urusan membawa pulang jenazah ke Malaysia.

Kisah Qaisara yang memerlukan dana sebanyak RM160,000 serta penderma hati baru mendapat perhatian rakyat Malaysia selepas disiarkan muka depan akhbar ini pada 28 Disember lalu.

Pada 7 Januari lalu, Qaisara ditemani ibu bapanya bersama Nadi Permata berangkat ke China untuk menjalani rawatan lanjut selepas pemindahan hati menggunakan hati bapanya pada Ogos lalu gagal.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 January 2017 @ 8:19 PM