Ahmad Ansoory menemani anaknya di hospital dan kesan disengat obor-obor. FOTO ihsan Ahmad Ansoory
Mohd Hanafis Abdul Haris


Kuala Lumpur: “Bila kakak mula senyap dan badannya tidak bergerak kami jadi panik. Mukanya terlalu pucat hingga kami menyangkakan akan kehilangannya,” kata Ahmad Ansoory Abd Aziz, 34, berhubung situasi cemas dilaluinya di Pantai Sawangan China, Labuan Ahad lalu.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, anak sulungnya, Qasryna Nouril Jannah, 6, cedera pada paha kaki dan tangan apabila disengat obor-obor.

Menceritakan kisah terbabit, Ahmad berkata, mereka berada di pantai itu bersama beberapa lagi ahli keluarganya untuk berkelah.

Menurutnya, sebelum kejadian, anak perempuannya meminta izin untuk mandi di tepi pantai terbabit dengan menggunakan pelampung.

“Saya kemudian terjun ke dalam laut untuk meneliti kawasan sekeliling bagi memastikan tiada kehadiran obor-obor atau hidupan laut yang merbahaya.

“Selepas yakin, saya pun membenarkan kakak (Qasryna) mandi, dengan syarat haruslah mandi berhampiran saya,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurut Ahmad, beberapa minit di tepi pantai itu, dia kemudian dikejutkan dengan jeritan anaknya yang mengerang kesakitan.

“Tanpa fikir panjang saya terus capai kakak dan bawa ke pantai,” katanya.

Menurutnya, sebaik berada di pantai, kaki anak perempuannya sudah dipenuhi dengan obor-obor yang melekat pada bahagian berkenaan.

“Kakak ketika itu mengerang kesakitan. Memang sakit kerana kami yang cuba menanggalkan obor-obor itu pun dah merasa pedih.

“Apa yang termampu ketika itu adalah menggosok pasir pada bahagian yang terkena sengatan,” katanya.

Menurutnya, situasi kemudian bertambah cemas apabila anak perempuannya itu menjadi pucat dan tidak bergerak.

“Saya dan isteri jadi panik. Bayangkan anak kita tiba-tiba senyap dan muka pula pucat seperti tiada darah,” katanya.

Menurutnya, dia membawa anaknya itu terus ke Hospital Nukleus Labuan untuk mendapatkan rawatan.

“Beberapa minit selepas itu, kami mula mendengar tangisan kakak dan waktu itu hanya Tuhan saja yang tahu betapa leganya kami,” katanya yang mempunyai dua lagi anak berusia empat dan 47 hari.

Menurutnya, anaknya kini beransur pulih dan masih dirawat di hospital berkenaan, namun trauma dengan kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 January 2017 @ 8:34 PM