PEMAIN Ivory Coast Franck Yannick Kessie (kiri) berebut bola dengan pemain Togo Atakora Lalawewe.
PEMAIN Ivory Coast Franck Yannick Kessie (kiri) berebut bola dengan pemain Togo Atakora Lalawewe.
AFP

Oyem, Gabon: Juara bertahan Ivory Coast dan Maghribi muncul antara pasukan pilihan yang gagal bertindak cemerlang pada Piala Negara Afrika di Gabon.

Ivory diikat 0-0 oleh Togo, 21 anak tangga di bawah mereka dalam ranking Afrika, selepas pertembungan yang mencetus tidak banyak aksi menarik buat penyokong yang kecil di pekan utara Oyem.

Maghribi, turut dianggap pasukan pilihan muncul juara di bawah kendalian jurulatih yang memenangi Piala Negara Afrika dua kali Herve Renard, dihukum kerana kesilapan penjaga gol apabila mereka kecundang 0-1 di tangan Demokratik Republik Congo.

DR Congo, yang menjuarai piala itu 43 tahun lalu, kini mengungguli Kumpulan C selepas aksi pertama dengan tiga mata.

DR Congo pasukan kedua meraih mata maksimum setakat ini selepas Senegal yang menundukkan Tunisia 2-0 dalam Kumpulan B, kelmarin.

Pemain tengah Junior Kabananga menjaringkan gol tunggal kemenangan DR Congo pada minit ke-55.

“Ia bukannya permulaan yang kami mahukan,” akui jurulatih Ivory Coast Michel Dussuyer, yang menggantikan Renard selepas kejayaan pada 2015. “Kami tidak mampu meningkatkan tahap permainan.

“Masih ada baki dua perlawanan. Kami menjangkakan lebih baik lagi selepas ini. Kami beraksi pada jam 5 petang waktu tempatan dan ia terlalu panas.

“Kami tidak tahu bagaimana untuk menangani Togo. Akhirnya ia satu persembahan hambar daripada kami. Kami sedar mengenai perkara ini, lebih-lebih lagi saya berbanding orang lain.”

Jurulatih Togo Claude le Roy berpuas hati dengan satu mata ketika beliau memulakan kempen Piala Negara Afrika kesembilannya selepas layak ke peringkat kalah mati dalam tujuh kejohanan terdahulu.

“Saya fikir kami bermain baik. Pujian buat pemain saya. Kami layak (ke Piala Negara Afrika) pada saat akhir di negara yang mana tiada sebarang kejuaraan dalam tempoh tiga tahun terakhir.

“Saya bimbang dengan pasukan Ivory Coast ini. Beberapa kali kami hampir menjaringkan gol, sesuatu yang pastinya mengagumkan.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 January 2017 @ 8:53 AM