PEMAIN negara (baju putih) meraikan gol kelima jaringan Fatin Sukri (tengah).
Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Malaysia Tigress umpama melepas geram susulan kekalahan 1-2 kepada Ireland kelmarin apabila membelasah Kazakhstan 13-1 pada perlawanan terakhir peringkat Kumpulan B, Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia semalam.

Susulan kemenangan itu, skuad negara yang muncul naib juara Kumpulan B di belakang Ireland akan bertemu Thailand yang menduduki tempat ketiga Kumpulan A di suku akhir esok.

Skuad negara bermula baik apabila di depan seawal minit ke-5 menerusi jaringan padang Nurul Nabihah Mansur.

Namun kedudukan itu tidak bertahan lama selepas Vera Domashneva menyamakan kedudukan hasil jaringan padang berpunca daripada kesilapan benteng pertahanan negara.

Nor Hasliza Md Ali kembali meletakkan skuad negara di depan minit ke-14 hasil jaringan padang sebelum Fatin Shafika Mahd Sukri menambah gol ketiga dua minit kemudian, juga menerusi gol padang.

Pakar pukulan sudut penalti Nuraini Abdul Rashid terus meletakkan skuad dikedudukan selesa apabila menyumbang gol keempat minit ke-18 sebelum Fatin meledak gol kedua peribadi sekali gus gol kelima skuad negara minit ke-24.

Fazilla Sylvester Silin serta Nuraslinda Said masing-masing meledak gol untuk skuad negara minit ke-26 dan 28 sekali gus menyaksikan Malaysia selesa dengan kelebihan 7-1 berakhir babak pertama.

Suku ketiga menyaksikan skuad negara menambah dua lagi gol menerusi Nurazlin Sumantri serta Hanis Nadiah Onn masing-masing minit ke-40 dan 44.

Malaysia melengkapkan kemenangan bergaya dengan menambah lagi empat gol pada suku akhir perlawanan menerusi Fazilla, Wan Norfaiezah Md Saiuti, Noraslinda dan Fatin.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 January 2017 @ 12:21 PM