MESSELEM (kiri) bersalaman dengan Setiausaha Eksekutif SAFA, Hasbullah Yahya.
MESSELEM (kiri) bersalaman dengan Setiausaha Eksekutif SAFA, Hasbullah Yahya.
Erdiehazzuan Ab Wahid


Kota Kinabalu: Pengarah Sukan Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA) Adlane Messelem dilantik pengurus pasukan musim ini dengan turut melengkapkan senarai pemain selepas bekas pertahanan kebangsaan Ahmad Azlan Zainal.

Messelem, 39, yang berasal dari Perancis itu menandatangani surat pelantikan jawatan berkenaan dengan disaksikan Timbalan Presiden 2 SAFA Datuk Lawrence Gimbang di pejabat SAFA, semalam.

Ketika ditemui, Messelem mengaku gembira dengan pelantikan berkenaan namun menyifatkan ia hanya 'status' baru buat dirinya.

“Misi saya sama seperti sebelum ini, iaitu membawa masuk lebih banyak disiplin dan tahap profesionalisme ke dalam persatuan ini (SAFA) selain memastikan kami selalu melakukan yang terbaik untuk mencapai sasaran.

“Saya seorang yang realistik tapi pada masa sama saya juga bercita-cita tinggi. Saya mahu membawa Sabah kembali ke Liga Super secepat mungkin,” katanya, semalam.

Beliau turut bertekad melakukan apa saja bagi mencapai sasaran kembali ke Liga Super bersama pengendali Steve Vilmiaire selain mengembalikan zaman kegemilangan Sabah.

Dalam perkembangan lain, Sabah turut melengkapkan senarai pemain musim ini apabila mengikat Ahmad.

Pemain berusia 31 tahun yang kali terakhir beraksi bersama pasukan negara pada 2010 itu menandatangani kontrak setahun.

Mengulas mengenai kehadiran Ahmad, Messelem menganggapnya sebagai perkembangan baik buat pasukan berdasarkan pengalamannya yang mampu membantu pemain muda.

Kemasukan Ahmad menjadikan Sabah kini memiliki 24 pemain untuk didaftarkan bagi menghadapi Liga Perdana musim ini.

Antaranya termasuk empat pemain import - Igor Cerina, Jonathan Behe, Masaya Jitzono dan Sofiane Choubani.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 January 2017 @ 12:39 PM