Noor Hashim (kiri) bersama pegawainya menunjukkan kenderaan mewah yang ditemui semula selepas polis menahan empat suspek di sekitar Tampoi dan Larkin. FOTO Zain Ahmed
Mohd Sabran Md Sani

Iskandar Puteri: Polis menumpaskan kegiatan samun kereta mewah didalangi empat lelaki berikutan penahanan mereka di beberapa lokasi di bandar raya ini, tengah malam semalam.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Superitenden Noor Hashim Mohamad berkata, suspek ditahan susulan laporan kehilangan kereta mewah milik seorang warga India dalam kejadian 6.05 petang pada 15 Januari lalu.

"Dalam kejadian itu, mangsa didatangi sekumpulan empat lelaki menaiki Honda CRV ke rumahnya untuk menarik kereta BMW atas alasan mempunyai rekod kesalahan jenayah, namun suspek gagal menunjukkan sebarang surat hitam putih penarikan kenderaan itu.

"Seorang daripada suspek kemudiannya menunjukkan gari dengan tujuan untuk menakut-nakutkan mangsa sebelum melarikan kereta BMW itu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri di sini, hari ini.

Beliau berkata, susulan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Kangkar Pulai pada 8.16 malam, kelmarin.

"Bertindak atas laporan itu suspek ditahan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) di beberapa lokasi di Tampoi dan Larkin.

"Semua suspek yang berusia antara 24 hingga 31 tahun itu kini ditahan reman selama empat hari sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 January 2017 @ 6:17 PM