Mencari pengganti. FOTO HM
Mencari pengganti. FOTO HM
Michelle Gun


Kuala Lumpur: Selepas putus cinta dengan anggota kumpulan Azhael iaitu Azhar dua tahun lalu, penyanyi dan pelakon Amira Othman mengelak menjalin hubungan dengan orang industri.

"Kalau boleh saya mahu mencari teman hidup dalam kalangan orang biasa.

“Namun, kalau sudah ditakdirkan bertemu jodoh dengan artis, saya reda,” katanya.

Bintang drama bersiri popular Abang Bomba I Love You itu berkata, buat masa ini dia belum bersedia mencari pengganti bagi mengisi kekosongan hati dan mahu memberi sepenuh tumpuan terhadap karier seni.

"Masih terlalu awal untuk memikirkan soal jodoh apatah lagi usia saya baru 24 tahun.

"Lebih baik saya fokus dalam karier sementara banyak tawaran menyanyi dan berlakon,” katanya.

Biarpun begitu, penyanyi lagu Jaga-Jaga itu mengakui merancang mahu menamatkan zaman bujang empat tahun lagi.

"Saya bukan jenis yang mahu bercinta lama-lama. Bagi saya itu hanya bazirkan masa.

“Kalau sudah sampai seru, cukuplah menunaikan yang wajib dan tak perlu bertunang.

"Mengenai ciri-ciri lelaki idaman, biarlah orangnya matang dan tidak terlalu ikut emosi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 January 2017 @ 7:43 PM
Kabinet Malaysia 2020