Daripada Muhaamad Hafis Nawawi di Surabaya


Surabaya: Semak latar belakang penumpang pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 antara yang dilakukan pihak berkuasa Indonesia bagi meneliti sebarang kemungkinan.

Ketua Perhubungan Udara Wilayah III Pramintohadi Sukarno berkata, data sedia ada seperti pesawat dan bagasi penumpang turut dianalisa.

“Semua itu dilakukan bagi mengenal pasti sebarang kemungkinan yang berlaku. Kita simpati dan prihatin dengan apa yang berlaku ke atas pesawat AirAsia Indonesia itu.

“Operasi mencari dan menyelamat diteruskan sehingga berjaya menemui pesawat itu.

"Kita sudah mengerahkan segala aset yang ada untuk operasi itu yang turut dibantu Malaysia dan Singapura," katanya kepada pemberita pada sidang media di pusat media di Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda Surabaya semalam.

Sementara itu, pengurusan AirAsia Indonesia akan terus membantu keluarga mangsa pesawat QZ8501 yang hilang bersama 162 penumpang dan anak kapal dalam usaha supaya mereka mendapat perkembangan terkini.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Indonesia Sunu Widyatmoko berkata, pihaknya masih terkejut dengan apa yang berlaku ke atas pesawat milik mereka yang sehingga kini masih belum ditemui.

"Kita akan sentiasa memberi taklimat dan maklumat terkini kepada ahli keluarga terbabit berkaitan penemuan terbaru dari semasa ke semasa," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Disember 2014 @ 1:27 PM