RASAI keunikan bermalam di chalet terapung yang ditawarkan di KOREF.
SUASANA senja yang mendamaikan.
myMetro

Mengimpikan percutian mendamaikan dan kaya dengan aktiviti unik serta mesra alam? Kahang Organic Rice Ceo Farm (KOREF), Kluang, Johor antara destinasi unik yang perlu anda kunjungi.

Terletak enam kilometer dari bandar Kahang, Koref adalah ladang eko beras organik yang pertama seumpamanya dan menerima pengiktirafan sebagai Ladang Beras Organik di negara ini.

Berkeluasan kira-kira 105 hektar, Koref dikelilingi petak sawah padi yang diusahakan sejak tahun 2001.

Kini, Koref adalah ladang yang menggabungkan ekopelancongan, penanaman padi dan akuakultur yang cukup unik, sekali gus memberikan banyak manfaat kepada semua pihak termasuk pengunjung.

Mengunjunginya, anda bukan saja dapat lari daripada kesibukan kota malah turut berpeluang melakukan pelbagai aktiviti luar yang menarik selain penginapan unik untuk berehat.

Inginkan aktiviti ‘hijau’ dan lasak yang ditawarkan di sini? Anda boleh memilih pelbagai aktiviti yang ditawarkan antaranya mendaki gunung, meneroka hutan siang atau malam, berkayak, menaiki rakit buluh, memancing, memanjat pokok, menanam padi, mempelajari cara membajak sawah, menangkap ikan dan menghasilkan kraf menggunakan bahan semula jadi.

Anda juga boleh menginap di chalet terapung, berkhemah di kawasan ladang atau hutan jika anda ingin merasai suasana alam yang mendamaikan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 January 2017 @ 1:25 PM