PEMANDANGAN mendamaikan dari puncak Gunung Datuk.
PESERTA yang menyertai pendakian bergambar kenangan dengan papan tanda yang sudah diperkukuhkan strukturnya.
Noor Azam Abd Aziz


“Nan senteng dilabuhkan, nan panjang dikeratkan, nan rumping disisipkan.”

Begitulah bidalan di papan tanda yang menyambut kehadiran penulis bersama 20 rakan pendaki ketika tiba di kaki Gunung Datuk, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Gunung setinggi 855 meter dari aras laut antara enam gunung menarik untuk didaki jika bertandang ke negeri beradat ini selain Gunung Telapak Buruk, Gunung Angsi, Gunung Besar Hantu, Gunung Rembau dan Gunung Tampin.

Bagi yang berhajat mendaki gunung dalam daerah Rembau ini, lokasinya hanya kira-kira 21 kilometer (km) dari pekan Rembau dan 15km dari pekan Tampin.

Kunjungan penulis bersama 20 pendaki dari Geng Gunung Harian Metro, warga kerja Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd (LITRAK) dan Geng Gunung Kajang kali ini bukan saja untuk memenuhi hobi lasak malah membawa misi amal di puncak gunung berkenaan.

Misi sempena tahun baru itu untuk mengukuhkan struktur papan tanda di puncak gunung berkenaan yang didirikan pada Oktober tahun lalu.

Perjalanan kami ke puncak bermula 8.30 pagi dari Solok Sengkuang Cabin D’Village yang terletak kira-kira satu kilometer dari kaki gunung berkenaan dengan setiap peserta membawa bekalan simen dan air yang beratnya hampir tiga kilogram (kg).

Selepas selesai sesi taklimat kami memulakan perjalanan sebelum mendaftar dan membayar permit kebenaran mendaki RM5 setiap seorang di pondok Jabatan Perhutanan.

Bagi melancarkan pendakian, pendaki berpecah kepada beberapa kumpulan untuk memudahkan pergerakan serta komunikasi ke puncak gunung berkenaan.

Perjalanan melalui denai ke puncak ternyata pengalaman menarik selain memberi cabaran tersendiri buat peserta, maklumlah masing-masing membawa beban simen dan air.

Pada masa sama gabungan laluan pacak berbatu menguji kekuatan mental serta fizikal pendaki untuk tiba ke puncak dalam jangka masa ditetapkan.

Bagaimanapun, kemudahan seperti tali dan pondok rehat disediakan pihak berkenaan sangat membantu pendaki mendaki laluan curam serta melepaskan lelah terutama bagi mereka yang baru berjinak-jinak dalam aktiviti lasak ini.

Selepas hampir dua jam mendaki, kepuasan terpancar pada wajah semua pendaki apabila tiba di puncak Gunung Datuk.

Walaupun kepenatan terutama bagi yang masih baru dalam aktiviti berkenaan, pakej suasana alam mendamaikan dan hutan dara di sepanjang perjalanan cukup memberi ketenangan kepada jiwa selain jauh daripada hiruk- pikuk kota.

Bagi pendaki yang tiba di puncak Gunung Datuk tidak lengkap jika mereka tidak memanjat tangga disediakan dan merakam kenangan di atas puncak batu.

Walaupun ada yang gayat, kerjasama berkumpulan antara pendaki memberi peluang kepada semua peserta merakam kenangan di puncak.

Dari puncak berkenaan anda boleh menikmati pemandangan indah perkampungan di sekitar Rembau yang mendamaikan.

Selepas hampir dua jam merakam kenangan dan menyelesaikan misi amal, kami kemudian meneruskan perjalanan pulang dengan rasa puas serta gembira.

Sebaik tiba di Solok Sengkuang Cabin D’Village kami memanjatkan rasa syukur kerana menyelesaikan misi berkenaan dengan jayanya.

Masakan kampung daging salai masak lemak cili padi iaitu menu popular di Negeri Sembilan yang disediakan pihak pengurusan untuk hidangan tengah hari bagaikan hadiah atas kejayaan misi amal berkenaan.

Tidak cukup dengan itu, kami turut berendam di kolam tadahan air gunung yang disediakan di situ, sebelum berangkat pulang pada lewat petang ke Kuala Lumpur dengan 1,001 kenangan manis di Gunung Datuk.

Ternyata kunjungan dan misi amal Gunung Datuk di Kampung Batang Nyamor ini saat yang manis untuk dikenang selain destinasi ini boleh dikunjungi bagi kegiatan riadah sama ada bersama rakan atau keluarga.

Walaupun ada antara kami masih baru dalam aktiviti mendaki, kesempatan merakam kenangan, menikmati keindahan budaya, sejarah dan hutan daranya buah tangan amat bermakna untuk dibawa pulang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 January 2017 @ 1:28 PM