Meor Riduwan Meor Ahmad


Kulim: Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas dua pertuduhan berasingan masing-masing memiliki pistol dan peluru tanpa lesen yang sah, bulan lalu.

Kedua-dua tertuduh, Wong Chew Hoe, 35, dan Chia EE Chong, 33, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan sejurus kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Hokkien di depan Hakim Musyiri Peet.

Bagi kes pertama, Wong didakwa memiliki pistol revolver di sebuah rumah di Jalan Seri Pinang, Taman Seri Pinang, di sini, pada 25 Disember 2016, kira-kira 1 pagi.

Pertuduhan kedua, dia yang tidak diwakili peguam didakwa memiliki sebutir peluru jenis .38 mm di dalam Proton Wira nombor pendaftaran PGM 4656 di tempat, masa dan tarikh sama.

Sementara itu, Chia pula didakwa memiliki pistol .45 auto jenis Glock 36 dan 49 butir peluru jenis S&B tanpa lesen sah di No 22, Lorong Sekolah Convent, 28 Disember lalu, pada 7.30 malam.

Bagi kesalahan memiliki pistol kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebatan tidak kurang enam kali.

Kesalahan memiliki peluru pula dituduh mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960, jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau didenda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan kes dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Tan Sew Ping, manakala Chia diwakili peguam Low Meng Chua.

Mahkamah menetapkan sebutan kes pada 20 Februari depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 January 2017 @ 2:13 PM
CHIA Ee Chong, 33, (kiri) dan Wong Chew Hoe, 35, dibawa di Mahkamah Sesyen Kulim. FOTO Adha Ghazali