(Dari kiri) Halima Tayib, 76; Hamad Kassim, 88; dan Salmah Ahmad, 80, gembira selepas menerima kunci RKB. FOTO Syamsi Suhaimi
Muhamaad Razis Ismail


Kuala Krai: Kerajaan Persekutuan menjangkakan 896 Rumah Kekal Baharu (RKB) untuk mangsa banjir Disember 2014 di daerah ini siap sepenuhnya sebelum Mei ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dabong, Datuk Ramzi Ab Rahman berkata, kini 857 RKB sudah siap dibina termasuk secara berkelompok di Kampung Peria dan Kampung Sungai Durian di sini.

Beliau berkata, baki 39 rumah masih dalam proses pembinaan.

"Di Kuala Krai, Kerajaan Persekutuan dipertanggungjawabkan untuk membina 896 RKB di daerah ini.

"Kini hanya sembilan rumah milik individu dan 30 lagi rumah dibina secara berkelompok di Kampung Manjor yang dalam proses untuk disiapkan.

"Kita jangkakan semua rumah ini akan disiapkan sebelum Ramadan ini," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Kunci RKB secara berkelompok di Kampung Peria di sini tadi.

Hadir sama, Pengarah Bahagian Teknikal & Infrastruktur Agensi Pengurusan Bencana Negara ( NADMA) Datuk Ir Rohaizi Mohd Jusoh.

Ditanya mengenai kelewatan pembinaan RKB itu, Ramzi yang juga Ketua UMNO Bahagian Kuala Krai berkata, pihaknya berdepan masalah tanah.

"Ada kawasan yang kita bina RKB di atas tanah milik Kerajaan Persekutuan malah kita juga perlu membeli tanah persendirian untuk membina rumah berkenaan.

"Atas sebab itu, ia mengambil masa untuk disiapkan sepenuhnya kerana kita perlu memilih tanahsesuai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 January 2017 @ 4:22 PM