Lima pelajar (dari kiri) Hanna Nazihah Anuar, Maisarah Mohamad, Wan Nashriah Wan Nasri, Amnina Mohd Asri dan Izzah Atira Mohd Razali dari Sekolah Maahad Muhammadi (P) Kota Bharu gembira memperoleh keputusan 10A Mumtaz STAM 2016 yang diumumkan hari ini. FOTO Muhd Faris Zainuldin
Siti Nor Hidayatidayu Razali dan Hazira Ahmad Zaidie


Kota Bharu: Kedua ibu bapanya bisu dan pekak namun calon Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2016 Sekolah Maahad Muhammadi Perempuan, di sini, muncul sebagai calon cemerlang yang memperoleh keputusan semua A (Mumtaz) dalam 10 mata pelajaran.

Wan Nashriah Wan Nasri, 19, berkata, kekurangan kedua ibu bapa memberi semangat untuk terus belajar dan cemerlang.

Katanya, ibunya, Hayati Muhammad, 46, dan bapanya, Wan Nasri Wan Ahmad, 51, masing-masing bekerja sebagai operator kilang jahit dan pencuci kereta.

"Walaupun saya orang susah dan ibu bapa tidak sempurna, namun saya mahu melihat mereka gembira dengan keputusan ini.

"Saya mahu menyambung pelajaran dalam bidang ekonomi dan ingin mengubah nasib keluarga," katanya ketika ditemui di Sekolah Maahad Muhammadi Perempuan, di sini, hari ini.

Wan Nashriah di antara lima pelajar sekolah itu yang memperoleh semua A (Mumtaz) dalam 10 mata pelajaran.

Sementara itu, mudir sekolah, Mohd Mansor Daud berkata, peratusan keputusan STAM sekolahnya meningkat sebanyak 1.09 peratus berbanding tahun lalu iaitu kepada 92.62 peratus.

"Bilangan yang mendapat 10 A meningkat kepada lima orang berbanding tahun lalu, empat orang dan muncul sebagai sekolah terbaik dalam keputusan STAM 2016," katanya dalam ucapan di Majlis Pengumuman Keputusan STAM.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 January 2017 @ 5:03 PM