ZETTY Alia (kiri) menerima sijil penghargaan daripada Wan Mohd Nor. - FOTO Global Station
ZETTY Alia (kiri) menerima sijil penghargaan daripada Wan Mohd Nor. - FOTO Global Station
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Drama bersiri Abang Bomba I Love You terbitan Global Station Sdn Bhd menerima sijil penghargaan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sempena majlis Perbarisan Tahunan JBPM di ibu pejabat JBPM Putrajaya, hari ini.

Sijil yang disampaikan Ketua Pengarah JBPM Datuk Wira Wan Mohd Nor Ibrahim itu diberikan sebagai menghargai usaha syarikat produksi itu memartabatkan dan menaikkan imej JBPM di mata seluruh rakyat Malaysia.

Penerbit Eksekutif Global Station, Zetty Alia Ramly berkata, pihaknya sangat berbesar hati dengan penghargaan itu.

"Niat asal Abang Bomba I Love You diterbitkan adalah bagi memberikan angin baru dalam drama tempatan. Lagipun, kerjaya sebagai anggota bomba jarang diketengahkan dalam drama berbanding anggota polis dan tentera.

"Pada masa sama, penonton lebih terbuka mata terhadap kerjaya bomba selepas drama ini ditayangkan, mereka lebih menahami kehidupan sebenar anggota bomba,” katanya.

Zetty Alia berkata, pengiktirafan dan penghargaan itu sangat berharga buat mereka.

Mengulas mengenai penerbitan drama akan datang, Zetty Alia tidak menolak mereka akan tampil lagi dengan karya sebegitu.

"Kenapa tidak jika ia boleh membuka mata kepada masyarakat mengenai kerjaya itu? Bukan bomba saja tapi banyak lagi pekerjaan lain boleh ditonjolkan.

"Bagaimanapun, kami kena melihat juga jika jalan ceritanya bersesuaian," katanya.

Abang Bomba I Love You arahan MP Roslin MD Sharif mula ditayangkan pada 12 September tahun lalu yang menampilkan lakonan Hisyam Hamid, Amira Othman, Dayana Roza, Sasqia Dahuri dan Kazar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 January 2017 @ 6:13 PM