GAMBAR yang menunjukkan logo BI pada wang kertas baru Indonesia yang didakwa menyerupai lambang komunis. - Agensi
GAMBAR yang menunjukkan logo BI pada wang kertas baru Indonesia yang didakwa menyerupai lambang komunis. - Agensi
Agensi

Jakarta: Syarikat percetakan kertas keselamatan dan wang tunai, Peruri menggesa orang ramai berhenti membuat andaian negatif mengenai logo Bank Indonesia (BI) pada wang kertas baru negara itu.

Presiden syarikat milik kerajaan itu, Prasetio berkata, logo BI pada wang kertas itu adalah rekaan dua imej bertindih untuk mengelak ia ditiru.

“Ia satu ciri keselamatan. Jangan membuat andaian negatif,” katanya yang dipetik Jakarta Post semalam.

Sebelum ini heboh di media sosial Indonesia bahawa wang kertas baru itu mempunyai simbol tukul dan sabit, lambang parti komunis negara itu yang sudah dibubarkan.

Pemimpin Barisan Pembela Islam, Habib Rizieq Shihab juga disiasat atas tuduhan menghasut selepas mengeluarkan komen serupa mengenai wang kertas baru itu.

Polis memberitahu, mereka memulakan siasatan terhadap Rizieq dan menyoal beberapa saksi berkaitan kenyataan pemimpin itu.

Ketua Polis Jakarta, Mochamad Iriawan berkata, kenyataan Rizieq adalah berbentuk hasutan dan pihaknya akan mendapatkan penjelasan daripada BI berkaitan logo itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 January 2017 @ 8:57 AM