DARI kiri, Muhammad Ikhwan, Muhammad Asyraf dan Mohammad Farhan menunjukkan aksi menarik dalam permainan berkenaan.
PERALATAN dalam permainan bod jari.
ANTARA ‘trick’ yang biasa ditunjukkan dalam permainan itu.
ANTARA ‘trick’ yang biasa ditunjukkan dalam permainan itu.
DEKORASI pelantar yang sama seperti permainan papan selaju.
Hajahfarhana Tarmudi


Hanya menggunakan kecekapan jari tangan untuk menggerakkan papan selaju bersaiz kecil berbanding ketangkasan pergerakan kaki bak pemain profesional.

Jika menyebut papan selaju, ramai membayangkan aktiviti lasak berkenaan yang kebiasaannya digemari anak muda untuk menunjukkan kehebatan masing-masing di kawasan taman.

Berbeza dengan permainan bod jari atau ‘fingerboard’. Biarpun ia bersaiz kecil, semua aksi ‘trick’ sama saja seperti bermain papan selaju.

Kecekapan jari, kepekaan pengelola dan kemantapan teknik untuk melakukan satu-satu gaya sangat diperlukan dalam aktiviti ini. Sukan ini tidak ubah seperti sukan papan selaju sebenar apabila peserta akan melakukan gaya tertentu menggunakan halangan sama, tetapi bersaiz mini.

Aktiviti bermanfaat

Menurut pengasas The Positibo, Muhammad Asyraf Yahya, aktiviti berkenaan memberi peluang kepada remaja untuk beraksi dalam keadaan selamat.

“Aktiviti ini sudah lama, sudah lebih 10 tahun namun ia dipandang sepi. Malah, ada kalanya permainan ini dipandang sinis oleh segelintir individu kerana dianggap membuang masa sedangkan ia berpotensi melahirkan pemain bertaraf antarabangsa jika benar-benar diberi perhatian.

“Berada tiga tahun dalam industri ini, saya dapat lihat fenomena sukan ini dimainkan secara tidak konsisten, sekejap ada sekejap tiada. Jadi, saya memasang impian untuk menarik semula minat pemain baru dan lama agar dapat menaikkan kembali aktiviti ini dengan pameran, perjumpaan dan pertandingan,” katanya.

Jelas Muhammad Asyraf yang menceburi aktiviti papan selaju sejak 15 tahun lalu menambah, permainan ini dianggap lebih selamat dan kurang risiko mengalami kecederaan biarpun pergerakan, teknik serta kepantasannya sama seperti bermain papan selaju.

Ramai yang melihat bermain menggunakan jari lebih mudah, namun jika sudah menceburi aktiviti berkenaan anda akan tahu mengenai kesukarannya kerana ia bersaiz kecil.

Mungkin ramai yang kurang berminat menceburi sukan berkenaan disebabkan kesukaran mendapatkan peralatannya selain mahal, namun kini tidak lagi kerana jenama berkenaan menampilkan pelbagai keperluan dalam permainan berkenaan.

Majoriti peminat sukan ini terdiri daripada pemain sukan papan selaju sebenar kerana mereka lebih faham dan tahu gaya terbaik untuk menambat hati juri pertandingan.

Sementara itu, Pengasas Bersama The Positibo, Muhammad Ikhwan Haziq Yahya, 18, berkata biarpun bersaiz kecil, papan selaju itu perlu dijaga dengan rapi.

“Ini kerana ia diperbuat daripada kayu mapel dan biasanya memerlukan beg penyimpanan bagi mengelakkan ia terkena air atau habuk. Sebaik-baiknya, elakkan daripada terkena air bagi mengelakkannya mudah rosak.

“Biarpun potensinya untuk rosak itu kurang, disebabkan penggunaannya yang lasak ia perlu dijaga dengan baik. Jika ingin membersihkannya, boleh gunakan semburan minyak atau gris bagi melancarkan bahagian bearing papan berkenaan,” katanya.

Cekap bermain bod jari

Dalam saiz papan luncur mini, dua jari serta koordinasi mata penting dalam mengatur gerakan supaya ‘trick’ dihasilkan tampak menonjol pada mata juri. Gerakan jari yang mengambil peranan kaki perlu lincah sebagaimana pemain luncur profesional mengawal papan selaju.

Kehebatan pemain bod jari masih diukur berdasarkan kesempurnaan mereka mengawal ‘trick’ seperti Olli, 360 degree mahupun 180 degree flip ketika di atas pelantar yang disediakan disediakan.

Selain itu, faktor kekemasan, tahap kesukaran dan masa juga diambil kira di dalam pertandingan berkenaan untuk melayakkan peserta menjadi juara.

Mengimbau kembali pembabitannya dalam sukan berkenaan, Mohammad Farhan Mohammad Sahak, 16, mula aktif sejak berusia 11 tahun dan ketika itu dia aktif bermain papan selaju dengan rakan sebaya.

“Saya melihat ada rakan bermain dan ia kelihatan menarik. Sejak itu, saya cuba bermain dan memahami teknik atau ‘trick’ yang perlu dilakukan.

“Ketika itu, saya hanya menggunakan bod jari yang diperbuat daripada plastik. Ini memang permainan yang unik kerana setiap ‘trick’ yang digunakan sama dengan permainan papan selaju.

“Namun, perkara yang membezakannya adalah menggunakan ketangkasan jari tangan. Ia sekali gus boleh mengurangkan risiko untuk terjatuh dan tercedera ketika beraksi,” katanya.

Berbeza ketika bermain papan selaju, dia pernah mengalami kecederaan akibat terjatuh hingga menyebabkan kakinya patah. Jelas pemain bod jari Malaysia ini, semua ‘trick’ dipelajari melalui laman YouTube selain daripada rakan dan dia mengambil masa antara enam bulan hingga setahun untuk benar-benar mahir.

Setiap hari pasti dia tidak ketinggalan untuk membuat latihan. Sejak itu, dia dan rakannya menyertai pertandingan untuk mempelajari dengan lebih mendalam ‘trick’ yang digunakan dalam permainan berkenaan.

Sehingga kini sudah lebih 20 pertandingan yang disertai dan paling besar adalah Twofinger Competition yang mendapat penyertaan sehingga 50 peserta dari seluruh negara.

Begitu membanggakan apabila Mohammad Farhan berjaya merangkul tempat kedua dalam pertandingan berkenaan. Kelebihan Mohammad Farhan adalah kemampuannya bermain untuk semua kategori membuka peluang yang tinggi untuk menang dengan mudah.

Dia akui, sebelum ini hobinya itu kurang disukai ibu bapanya kerana Mohammad Farhan masih belum pandai membahagikan masa antara pelajaran dan aktiviti berkenaan.

Namun, sekarang tidak lagi kerana dia ada pelantar sendiri yang ditempatkan di dalam bilik untuk membolehkan dirinya berlatih memperbaiki kemahiran membuat ‘trick’ yang sempurna.

Anak bongsu daripada dua beradik ini menambah impiannya adalah untuk menyertai pertandingan di luar negara seperti Indonesia dan Jerman yang memiliki ramai pemain aktif.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 January 2017 @ 1:06 PM