PEMANDANGAN dari udara perkampungan di sepanjang Sungai Pahang di daerah Temerloh yang dilanda banjir luar biasa hari ini. FOTO Bernama

Kuala Lumpur: Bilangan mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Kelantan, Pahang dan Perak meningkat sedikit.

Terengganu pula berkurangan manakala Johor kekal menjadikan keseluruhan yang dipindahkan turun kepada 219,286 orang di lima negeri tengah malam tadi, berbanding 235,803 orang lewat petang semalam.

Di KELANTAN jumlah mangsa banjir meningkat sedikit kepada 142,582 mangsa 12 tengah malam berbanding 142,564 pada 8 malam tadi.

Di TERENGGANU, bilangan mangsa banjir turun kepada 31,479 orang daripada 7,559 keluarga ditempatkan di 67 pusat pemindahan hingga 12 tengah malam ini berbanding 31,719 orang 7 malam tadi.

Di PAHANG, jumlah mangsa banjir terus meningkat kepada 37, 389 orang daripada 9,065 keluarga, setakat 11 malam tadi berbanding 37,349 orang daripada 9,003 keluarga 9 malam tadi.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata, daerah Temerloh mempunyai mangsa banjir paling ramai iaitu 15,366 orang di 62 PPS.

Tujuh lagi daerah yang terbabit ialah Jerantut yang menempatkan 6,025 orang di 59 pusat pemindahan, Pekan (5,108 mangsa/ 34 pusat), Maran (3,690 mangsa/ 28 pusat), Lipis (2,468 mangsa/ 31 pusat), Bera (2,426 mangsa/ 14 pusat), Kuantan (2,277 mangsa/ 14 pusat) dan Rompin (29 mangsa/ dua pusat).

Di PERAK, mangsa banjir meningkat kepada 7,665 orang daripada 2,002 keluarga sehingga 11 malam berbanding 7,408 orang daripada 1,948 keluarga pada 6 petang tadi.

Di JOHOR, Jumlah mangsa banjir di Johor kekal 171 orang daripada 49 keluarga sehingga tengah malam tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Disember 2014 @ 4:15 AM