Anggota bomba membantu memindahkan mangsa banjir Kampung Tok Kundor, petang tadi. FOTO Rokaid Chik

Pasir Puteh: Seramai 25 mangsa banjir membabitkan lima keluarga dari Kampung Tok Kundor, di sini dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Wakaf Raja di sini jam 2.30 petang tadi.

Jurucakap Jabatan Kebajikan Masyarakat Pasir Puteh berkata, mereka dipindahkan oleh pasukan penyelamat terdiri bomba, polis dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

"Di PPS ini, terdapat seorang lelaki dewasa, enam wanita dewasa, sembilankanak-kanak lelaki, tujuh kanak-kanak perempuan dan dua bayi perempuan.

"Pihak kami akan terus memantau keadaan mereka bagi memastikan semua mangsa banjir itu terutama dua bayi itu berada dalam keadaan selesa," katanya.

Tinjauan Harian Metro ke kawasan lain, beberapa kawasan rendah terutama di sekitar Bukit Abal, Permatang Rambai, Bukit Tanah dan Jerus di Selising turut ditenggelami air sedalam 0.3 meter akibat hujan lebat sejak dua hari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 January 2017 @ 7:15 PM