Nurul Hidayah Bahaudin


Kajang: Empat wanita terdiri daripada pengurus dan pembantu taska ditahan bagi membantu siasatan kes dera kanak-kanak di sebuah taska di Bandar Baru Bangi, di sini, yang tular sejak dua hari lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Othman Nanyan berkata, empat wanita berusia antara 24 hingga 46 tahun itu ditahan dalam dua serbuan berasingan hari ini.

"Tiga pekerja wanita ditahan di taska berkenaan pada jam 4.20 petang. Susulan itu, kita turut menahan pengurus taska di sebuah pangsapuri di Kajang Prima Impian, di sini, jam 5 petang.

"Kanak-kanak yang terbabit turut dihantar ke Hospital Kajang untuk pemeriksaan dan pihak hospital mengesahkan tiada sebarang kecederaan fizikal," katanya.

Menurutnya, kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya, Isnin depan untuk arahan selanjutnya.

Berdasarkan gambar yang tersebar di laman sosial itu, empat kanak-kanak dalam keadaan terbaring dengan tangan dan kaki diikat didakwa berada di taska terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 January 2017 @ 8:20 PM