AHMAD Safuan Nizam memantau hasil kerja yang dilakukan Muhamad Aidil.
MESIN jahit antik digunakan untuk menghasilkan seluar denim berkualiti.
AHMAD Safuan Nizam (kiri) dan Muhamad Aidil (kanan) bersama pasukan Raw Denim House.
Nurul Fatihah Sulaini

Raw Denim House adalah menifestasi anak muda Malaysia untuk dibuktikan kepada semua bahawa kita boleh keluarkan satu produk yang berkualiti setanding jenama luar negara. Apa yang penting adalah usaha dan dengan itu kita mampu lakukan apa jua yang rakyat negara maju lakukan,” kata Ahmad Safuan Nizam Kamarudin, 28.

Itu antara kata motivasi dikongsi sekumpulan anak muda yang semakin mencipta nama dalam bidang pembuatan seluar denim jenama sendiri.

Minat mendalam terhadap dunia artisan denim mendorong tiga anak muda dari Besut, Terengganu ini mengumpul dana untuk menghasilkan jenama sendiri diberi nama Raw Denim House. Realitinya bukan mudah untuk dilakukan tapi berbekalkan semangat tinggi, mereka buktikan anak tempatan juga berkebolehan menghasilkan denim buatan tangan setanding jenama besar luar negara.

Percubaan berani tiga anak muda, Ahmad Safuan bersama abangnya, Ahmad Syukri, 33, serta sahabat baik mereka, Muhamad Aidil Akhyar, 30, berjaya mencetuskan revolusi baru dalam pembuatan denim.

Menurut Safuan, Raw Denim House memfokuskan kepada seluar denim buatan tangan atau lebih dikenali dengan nama ‘bespoke jeans’.

“Raw Denim House ditubuhkan pada 2011. Bermula cuma bertiga, kini kami mempunyai kira-kira 20 pelapis baru. Dalam pasukan, kami amat mementingkan ciri kesenian dalam proses pembuatan seluar denim itu sendiri,” katanya.

MODAL PERTAMA RM2,000

Mengimbas semula pembabitan awal mereka, Safuan berkata, segalanya bermula daripada semangat ingin tahu mengenai proses dan cara sebenar jean disiapkan.

Dari situ, mereka mula mencari maklumat daripada pelbagai sumber termasuk proses menghasilkan sehelai seluar denim.

“Saya juga kerap ke luar negara untuk menuntut ilmu dengan pakar selain mengikuti forum berkaitan proses pembuatannya,” katanya.

Katanya, walaupun tidak mengikuti sebarang kursus jahitan secara formal, minat mendalam mendorong dirinya belajar sendiri melalui pemerhatian.

“Awalnya, modal dikeluarkan cuma RM2,000 dan saya cuba menghasilkan sehelai seluar denim menggunakan mesin jahit di rumah. Pada masa sama berusaha mencari dana untuk membuka kedai. Dalam tempoh itu, datang seorang rakan mempelawa untuk menyewa satu lot kedai di bangunan Jertih Souq. Ibarat ‘pucuk dicita ulam mendatang’, saya terima tawaran itu dan menjadikan kedai sebagai premis perniagaan,” katanya.

GUNA MESIN JAHIT ANTIK

Keunikan penghasilan seluar daripada Raw Denim House juga terletak pada penggunaan mesin jahit antik yang dikhaskan untuk memelihara kehalusan seni hasil kerja.

“Kebanyakan mesin yang kami gunakan untuk menghasilkan sehelai seluar adalah mesin berasal dari Amerika Syarikat dan Jepun kerana menghormati filosofi dalam penghasilan seluar itu. Sebanyak 17 mesin antaranya Reece 101 dan Union Special buatan sekitar 1940-an hingga 1950-an kami guna setakat ini kerana ia boleh hasilkan kesan cantik pada seluar selepas lama dipakai,” kata Syukri.

Menurutnya, harga sebenar sebuah mesin jahit mampu mencecah RM100,000 dan kebanyakan mesin terpakai diimport dibeli dengan harga RM25,000 setiap satu. Mereka kini dalam proses menambah kira-kira 13 mesin lagi dalam tempoh setahun setengah akan datang untuk meningkatkan pengeluaranan.

HADKAN 30 HELAI SEBULAN

Disebabkan kekangan jumlah mesin jahit ketika ini, mereka terpaksa mengehadkan pengeluaran kira-kira 30 helai sebulan bagi memastikan kualiti terjaga.

Saiful menjelaskan, meskipun banyak tempahan diterima dalam talian, mereka terpaksa mengutamakan pelanggan yang datang terus ke kedai.

“Jika pelanggan terus ke kedai, kami dapat menunjukkan kaedah betul untuk mengambil ukuran. Kami juga akan diberi penerangan mengenai jenis kain digunakan termasuk menggunakan selvedge denim serta pilihan gaya diinginkan.

“Harga bagi sehelai seluar jenama kami ada dua jenis iaitu ‘regular’ antara RM250 hingga RM300 dan ‘premium’ antara RM400 hingga RM550. Selain itu, kami turut menyediakan khidmat baik pulih percuma sepanjang hayat untuk membaiki seluar yang dibeli,” katanya selain menambah 20 peratus diskaun turut diberikan untuk menukar seluar lama dibeli atau rosak.

Aidil berkata, di Raw Denim House mereka menggunakan Konsep 3R (recyle, reuse, reduce) dalam setiap penghasilan seluar. Sepanjang tempoh beroperasi hanya terdapat kira-kira 300 seluar saja yang sudah dihasilkan dan dijual.

“Kami berhasrat, untuk seluar yang dipulangkan kembali kerana rosak kami akan gunakan bagi menghasilkan produk lain seperti jaket dan topi supaya masalah pembaziran dapat dikurangkan,” katanya.

Berkongsi perancangan jangka masa panjang, tiga anak muda ini berhasrat menubuhkan Akademi Raw Denim House sendiri pada 2020 nanti bagi melahirkan lebih ramai pelatih mahir dalam pembuatan pakaian denim untuk pasaran tempatan dan luar.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 January 2017 @ 5:04 AM