KETUA Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali (tengah) semasa melihat dokumen warga asing ketika Ops Ikrar Bersepadu Imigresen di Bukit Damai, Putrajaya-Cyberjaya. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
KETUA Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali (tengah) semasa melihat dokumen warga asing ketika Ops Ikrar Bersepadu Imigresen di Bukit Damai, Putrajaya-Cyberjaya. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Siti A'isyah Sukaimi


Dengkil: Seramai 454 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam ops ikrar bersepadu bersama pelbagai agensi berkaitan di rumah kongsi Bukit Damardi sini, awal pagi hari ini.

Operasi yang diketuai Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali bersama pengarah dari semua negeri dijalankan bermula jam 12 tengah malam hingga 4 pagi dan membabitkan keseluruhan 391 anggota penguat kuasa.

Dalam pada itu, Mustafar berkata, tangkapan terhadap mereka adalah selepas pemeriksaan dilakukan ke atas seramai 1,067 pekerja asing di lokasi berkenaan.

"Pemeriksaan dan tangkapan membabitkan warga Indonesia, Bangladesh serta Myanmar dan mereka akan disiasat serta berdepan dengan tindakan seterusnya berdasarkan undang-undang.

"Siasatan dilakukan atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyelidupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," katanya kepada pemberita hari ini.

Dalam ops itu, turut ditemui dua premis bermain judi atas talian di dalam kawasan rumah kongsi berkenaan.

Mustafar berkata, tindakan dibuat oleh agensi yang turut menyertai ops berkenaan terhadap premis menawarkan khidmat bermain judi atas talian.

"Melihat kepada kewujudan premis judi ini, kita mahu memecahkan rantaian kesalahan pendatang asing ini dan sebagai contoh, jika mereka menerima gaji dan bermain judi serta kalah, bimbang akan berlaku kejadian tidak sepatutnya seperti merompak.

"Kita mahu memecahkan rantaian ini kerana tidak mahu berlaku masalah dan gejala lain selain daripada kesalahan dilakukan berkaitan PATI," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 January 2017 @ 2:22 PM