MANGSA banjir dari Kampung Gong Chokah dibawa dengan jentolak ke pusat pemindahan sementara di SMK Sungai Petai, Pasir Puteh. FOTO Rokaid Chik
Siti Nor Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Lima puluh satu sekolah di Kelantan ditutup, esok, berikutan banjir yang semakin buruk, hari ini.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, Jaafar Ismail, berkata sekolah ditutup membabitkan daerah Kota Bharu, Tumpat, Bachok, Pasir Mas dan Pasir Puteh.

"Sembilan belas sekolah ditutup di Pasir Mas, Kota Bharu (14), Pasir Puteh (7), Tumpat (8) dan Bachok (tiga).

“Sekolah ditutup kerana keadaan jalan yang dinaiki air dan boleh mengancam nyawa pelajar dan guru.

"Kita akan sentiasa membuat pemantauan dari semasa ke semasa untuk memastikan keadaan benar-benar selamat sebelum memaklumkan pembukaan sekolah berkenaan," katanya di sini, hari ini.

Menurut portal eBanjir Kelantan, jumlah mangsa banjir terus meningkat kepada 7,348 orang, pada kira-kira 6 petang hari ini, berbanding 3,653 mangsa pada kira-kira 12 tengah hari yang sama.

Ia membabikan 2,032 keluarga yang ditempatkan di 56 pusat pemindahan sementara di tujuh daerah.

Daerah Kota Bharu mencatatkan jumlah mangsa paling tinggi, 2,788 mangsa daripada 753 keluarga dan Pasir Mas 1,644 mangsa membabitkan 478 keluarga.

Pasir Puteh (1,551 mangsa daripada 426 keluarga); Tumpat (656 mangsa, 183 keluarga); Bachok (425 mangsa, 111 keluarga); Machang (193 mangsa, 55 keluarga) dan Tanah Merah (91 mangsa, 26 keluarga).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 January 2017 @ 6:57 PM