IHSAN Imigresen
Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Jabatan Imigresen Johor menahan 137 warga asing dalam satu serbuan di tapak pembinaan pangsapuri di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, di sini.

Sekurang-kurangnya 239 warga asing diperiksa membabitkan pelbagai negara, dalam serbuan Ops Ikrar (Sapu), pada 1.30 pagi, 21 Januari.

Ketua Bahagian Penguatkuasa Imigresen Johor, Masri Adul, berkata daripada jumlah warga asing yang diperiksa, 102 orang dilepaskan selepas didapati memiliki pas yang sah untuk berada di Malaysia.

"Kesemua 137 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155). Serbuan dilakukan di tapak projek pangsapuri 25 tingkat yang hampir siap pembinaannya," katanya.

Beliau berkata, mereka yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah, Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di Malaysia melebihi tempoh yang dibenarkan dan Seksyen 56(1)(l) akta sama kerana memiliki pas atau permit perjalanan palsu.

Menurut Masri, mereka yang ditahan semuanya berusia antara 20 hingga 52 tahun dan dibawa ke Depot Imigresen Setia Tropika.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 January 2017 @ 8:29 PM