KEMUNCULAN Sabri Yunus amat dinantikan ramai.
KEMUNCULAN Amelina berjaya mengubat rindu peminat.
RONNIE dan Lan Kristal berduet menyampaikan lagu Pasti Sempurna.
AKSI daripada Jimmy Palikat.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my

Belum ada lagi program menggabungkan muzik tradisional dikir barat dan moden menjadi satu konsep khas.

Justeru, sambutan baik diberikan penonton apabila RTM menghasilkan satu program menarik berjudul Konsert Dalam Dikir, baru-baru ini.

Mungkin kerana teruja, penonton sanggup hadir seawal jam 8 malam ke rakaman program ini di Auditorium Perdana, Angkasapuri untuk memastikan mendapat tempat duduk.

Malah, difahamkan ada juga penonton dari Kelantan sanggup ke Angkasapuri semata-mata untuk menyaksikan rakaman rancangan ini.

Apatah lagi barisan artis yang ditampilkan sememangnya hebat seperti Amelina, Ani Mayuni, Lan Kristal, Ronnie Hyperact, Jimmy Palikat, Bob AF, Adzrin Adzhar dan ramai lagi.

Kombinasi ini dimantapkan lagi dengan penampilan artis dikir barat iaitu Kumpulan Dikir Barat

Arjuna Sukma, Rosalinda, Man Khan, Halim Yazid, Megat Nordin, Razali Kulintagan dan Iwere.

Tepat jam 9 malam, rakaman dimulakan dengan kemunculan Amelina yang menyampaikan lagu Penasaran bergandingan dengan Ani Mayuni dan Kumpulan Dikir Barat Arjuna Sukma.

Sememangnya kemunculan penyanyi bergelar Ratu Dangdut yang pernah mencetuskan fenomena dan kemudiannya lama menyepi ini begitu dinanti-nantikan peminat yang memberikan tepukan gemuruh.

Mereka seakan-akan terpukau dengan persembahan kedua-dua penyanyi ini dan bertepuk tangan tanpa henti. Sebagai penyanyi berpengalaman, Amelina sudah dapat meneka permintaan peminatnya yang mahu dia beraksi lagi.

Tanpa berlengah, dia sekali lagi menguasai pentas secara solo dengan lagu berhantunya, Rindu.

Ketika ini, penonton tanpa disuruh menyanyi secara spontan menghafal bait-bait lagu rindu bersamanya, tanda mereka masih setia mengingati penyanyi kesayangan ramai ini.

Seakan-akan melunaskan 'hutang' yang lama dituntut oleh peminatnya serta melepaskan geram yang lama terbuku dihatinya, Amelina memberikan persembahan yang bertenaga dan terbaik.

Apatah lagi ini adalah kemunculan sulungnya dalam program hiburan terbitan RTM selepas sekian lama menyepikan diri. Ternyata, dia masih mempunyai 'sentuhan magis' untuk menghiburkan penonton yang hadir, sekali gus menerima tepukan gemuruh pada akhir persembahannya.

Menariknya, Konsert Dalam Dikir tidak menggunakan pengacara, sebaliknya membuat kelainan menggunakan konsep memperkenalkan artis melalui dikir dan pengunaan suara latar yang mengunakan khidmat penyampai Nasional FM, DJ Muaz.

Persembahan diteruskan lagi dengan segmen menampilkan barisan penyanyi yang mencipta populariti dan mempunyai peminat yang ramai di negeri Kelantan seperti Rosalinda, Man Khan, Halim Yazid, Megat Nordin, Razali Kulintagan dan Iwere.

Mereka turut menyampaikan lagu popular masing-masing antaranya Anak Tupai, Oghe Kito, Dok Mano, Hati Rasa Berkenan dan banyak lagi yang turut menerima tepukan gemuruh penonton.

Juga tidak ketinggalan penampilan istimewa pelakon, pelawak serta pengarah serba boleh, Sabri Yunus yang turut membuat persembahan, menyampaikan skesta dan dikir sambil dibantu Isey Fazlisham dan Chelsea Chil, seorang model dan juga penyanyi berbangsa Cina.

Tidak menunggu lama, selepas itu penonton dihiburkan lagi oleh barisan artis popular tanah air seperti Lan Kristal dan Ronnie Hyperact yang berduet menyampaikan lagu Pasti Sempurna.

Seterusnya diikuti oleh Jimmy Palikat yang mengambil alih pentas dengan lagu popularnya, Anak Kampung, kemudian menyusul pula Bob AF dengan lagu Rude dan selepas itu Ellisan Tan, Adzrin Adzhar dan Isey Fazlisham membuat persembahan.

Setiap artis untuk program itu diiringi kumpulan penari latar Alam Wakaka & Friends yang turut mewarnai program unik dan menarik ini. Terserlah percaturan bijak dan idea kreatif penerbitnya, Ain Sabrina Onn.

Gabungan elemen muzik tradisional dikir barat yang diolah dengan elemen muzik moden dalam rancangan ini 'menjadi' dan wajar diberi pujian.

Idea tercetus dengan bantuan Sabri

Konsert Dalam Dikir (KDD) adalah konsert yang menjadikan dikir itu universal melalui persembahan pelbagai genre seperti dangdut, pop yeh yeh, K-pop, rock, balada dan hip hop.

"Gubahan lagu-lagu yang menggabungkan muzik dikir oleh kumpulan Dikir Alunan Sukma dan 'live band' oleh Eddie Slam memberi 'kesegaran' dalam rangkaian lagu-lagu yang disampaikan selama dua jam tanpa henti.

"RTM sentiasa memberikan rancangan yang terbaik dengan membuka ruang kepada penggiat seni warisan dikir barat ini dan diharapkan muzik dikir yang dimodenkan dapat diterima penonton khasnya masyarakat pantai tmur.

"Kumpulan Dikir Alunan Sukma ini berasal dari Kelantan dan mereka begitu terkenal di sana. Idea dan konsep untuk menghasilkan program ini pula dicetuskan oleh saya dan Abang Sabri Yunus yang bertindak sebagai panel kreatif.

"Kami sama-sama berbincang dan melalui proses 'brainstorming', inilah hasil yang kami peroleh," katanya.

Rancangan berdurasi selama dua jam ini akan ditayangkan Khamis ini menerusi saluran TV2 pada jam 9 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Disember 2014 @ 5:02 AM