MAZURI (kanan) bersama jurulatih negara, Lee Nyuk Fah ketika sidang media.
MAZURI (kanan) bersama jurulatih negara, Lee Nyuk Fah ketika sidang media.

Kuala Lumpur: Selepas menunggu hampir dua tahun, impian Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) untuk memiliki kemudahan stadium sendiri di Lembah Klang dijangka berakhir apabila projek pembinaannya siap hujung tahun ini.

Pengurus Besar KRM Mohd Mazuri Sallehudin berkata, berdasarkan perkembangan terkini, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) difahamkan sudah mengenal pasti tapak pembinaan mercu tanda baru sukan lasak itu.

Hasil pertemuan kali terakhir kedua-dua pihak itu pada hujung tahun lalu menyaksikan proses pemilihan lokasi sudah dimuktamadkan biarpun sebelum ini wujud pertikaian mengenai tapak sebenar pembinaan stadium itu.

Untuk rekod, tiga venue pernah dicadangkan untuk dijadikan stadium ragbi negara - Stadium Merdeka, Stadium Majlis Bandaraya Kelana Jaya dan Pusat Ekuestrian Putrajaya.

“Kami dan KBS ada melakukan beberapa perbincangan mengenai status pembinaan stadium dan difahamkan KBS sudah menemui lokasi sesuai untuk memulakan pembinaannya.

“Butiran lanjut biar Menteri Belia dan Sukan (Khairy Jamaluddin Abu Bakar) umumkan nanti. Cuma apa yang difahamkan, stadium berkenaan tetap akan dibina di kawasan Lembah Klang dan dijangka siap hujung tahun ini,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang media Kejohanan Liga Ragbi Malaysia 2017, di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 January 2017 @ 5:07 AM