UJIAN penilaian susu di makmal.
UJIAN penilaian susu di makmal.
TIADA lagi pemerahan dengan tangan apabila mesin mengambil alih tugasan.
TIADA lagi pemerahan dengan tangan apabila mesin mengambil alih tugasan.
Rahayu Mohd Salleh

Sekiranya diberi pilihan, mahu saja saya meluangkan waktu seharian di ladang luas serba menghijau itu. Padang ragut terbentang luas diselubungi udara dingin menyegarkan itu masih tergambar di ruang fikiran hingga kini.

Alangkah bagusnya jika lawatan separuh hari itu dijadikan program inap desa. Dapatlah merasai kehidupan penternak lembu di sekitar New Zealand ini yang rata-rata sudah celik mata seawal jam 4 pagi lagi saban hari.

Pertemuan dengan penternak berpengalaman kira-kira 42 tahun dalam bidang penternakan lembu, Murray Shaw, 65, yang membekalkan keperluan susu untuk syarikat Fonterra di ladangnya, Bella Vista Farm, ternyata lelaki ini kelihatan teruja juga sabar dan teliti bercerita mengenai urusan perjalanan di ladangnya itu.

Lembunya yang begitu sihat dan gebu begitu teratur sewaktu berbaris untuk memasuki ruang pemerahan susu masing-masing. Apabila mesin ditekapkan pada dada masing-masing, tiada pula yang membuat hal. Seperti sudah tahu rutin pemerahan susu itu, selesai saja susu dipam keluar dari dada masing-masing, elok saja kumpulan lembu itu berbaris keluar dari kilang dan kemudian masih berbaris sewaktu merentas laluan ladang!

“Pemerahan susu pun ada waktunya dan kebiasaannya, musim pemerahan susu yang terhenti beberapa bulan itu bermula semula pada Julai. Ia dilakukan dua kali sehari iaitu pada jam 5 pagi dan kemudian antara 2.30 hingga 3 petang,” kata Shaw di ladangnya di Karaka, Auckland, kira-kira 42 kilometer atau 30 minit pemanduan dari pusat bandar Auckland.

Usah diharap hendak melihat pemerahan susu dengan tangan kerana kini mesin mengambil alih tugasan pemerahan susu dari lembu dengan begitu cekap sekali. Malah sewaktu meminta Shaw menunjukkan cara pemerahan susu dengan tangan, lembu itu pula sedikit meronta-ronta kerana tidak biasa dibelai aset susunya itu dengan tangan manusia.

“Penggunaan mesin ini hanya membabitkan empat hingga enam minit saja proses pemerahannya daripada seekor lembu. Daripada dua kali pemerahan susu setiap hari, secara purata boleh membekalkan kira-kira 26 liter tetapi paling bagus apabila kami dapat mengumpul 42 liter susu sehari,” katanya menambah, seekor lembu pula boleh mengeluarkan susu untuk tempoh kira-kira 10 tahun daripada hayatnya.

Di ladang terbabit, lebih 500 lembu Friesian diternak di ladang seluas kira-kira 158 hektar itu dengan usaha sama adiknya, Graham, 63, selepas mereka mewarisi ladang itu daripada mendiang bapa mereka, Andrew. Malah Bella Vista Farm sudah bersama Fonterra sejak 1971.

Rumput segar

Padang rumput menghijau yang luas terbentang itu bagaikan satu tarikan memukau buat sesiapa saja yang mahu menghayati keindahannya. Buat manusia, kehijauan sebegitu me­nyajikan kepuasan menatap pemandangan yang tampak indah dan menenangkan, manakala bagi si lembu, itulah nikmat mengisi perut masing-masing dengan rumput yang tumbuh begitu baik sekali.

New Zealand dikurniakan dengan cuaca yang tidak begitu ekstrem lantas ia menjadi padang ragut yang cukup baik untuk pembiakan lembu ini. Pada musim sejuk, ia mencatatkan sekitar 12 darjah Celsius manakala musim panas pula merekodkan suhu sekitar 24 darjah Celsius.

Kesegaran rumput itu tentu sekali bergantung kepada suhu tanah. Suhu paling sesuai untuk menghasilkan rumput yang baik seharusnya melebihi 10 darjah Celsius. Manakala suhu paling rendah untuk pertumbuhan rumput yang sesuai sekitar 10 hingga 15 darjah Celsius.

“Di bahagian ke utara pulau ini, rumputnya segar sepanjang tahun. Sebenarnya, musim panas ternyata mencabar buat kami dan apabila hujan, memang kami gembira. Cuaca sememangnya sesuatu yang tidak boleh dijangka.

“Sebelum ini kami menjangka kehadiran El Nino yang kering dan tentu sekali ia akan menjejaskan pertumbuhan rumput yang baik tetapi tahun lalu boleh dianggap musim panas terbaik buat kami,” katanya sambil menambah, usaha penternakan lembu yang menuntut pengorbanan jitu itu dilaksanakan sebaik mungkin bagi membolehkan ternakannya menghasilkan susu terbaik untuk dinikmati pengguna di seluruh dunia.

Produk tenusu berkualiti tinggi bukan saja bermula dengan rumput berkualiti tinggi, malah keluarga penternak juga komited kepada piawaian kawalan kualiti yang ketat antaranya menerusi ujian di ladang juga penilaian alam sekitar.

Dunia tenusu

Daripada padang ragut menghijau itulah segalanya bermula yang menempatkan New Zealand sebagai negara pengeluar hasil tenusu terkemuka di dunia malah pengeksportan hasil tenusunya sudah bermula sejak 1846.

Pada 2015, keluasan tanah yang dimanfaatkan untuk penghasilan produk tenusu sebanyak 1.8 juta hektar dengan 74 peratus di pulau utara dan selebihnya 26 peratus di pulau selatan negara berkenaan.

Fonterra pula yang menempatkan dirinya sebagai pengeksport tenusu terkemuka di dunia dengan produk dan bahan tenusunya berada di lebih 140 negara, dimiliki secara koperasi oleh 10,500 keluarga penternak New Zealand yang wujud lebih 100 tahun lalu.

Syarikat ini mengumpulkan kira-kira 85 peratus daripada jumlah susu di New Zealand, manakala saban tahun, ia memproses lebih daripada 22 bilion liter susu dan mengeksport 95 peratus daripada susu berkenaan ke seluruh dunia.

Setiap hari juga, lori tanker Fonterra mengumpulkan susu di serata bahagian negara terbabit yang dibawa ke 33 tapak pemprosesan dan 76 kilang. Kilang pengeluarannya di Te Rapa, di bahagian utara Hamilton pula mengeluarkan lebih daripada 325,000 tan serbuk susu dan produk krim untuk eksport setiap tahun. Ia mempunyai keupayaan untuk memproses lebih lapan juta liter susu setiap hari pada waktu puncak dengan kira-kira muatan 300 tanker.

Memiliki reputasi kukuh di mata dunia, keutamaan syarikat ini tentu sekali terletak pada keselamatan dan kualiti makanan iaitu daripada pemerolehan susu berkualiti tinggi sehinggalah kepada pemprosesan, pembungkusan serta pengendalian hasil keluarannya.

Bukan calang-calang susu yang sampai ke tangan pengguna kerana setiap titisan susu terbabit sudah menempuh pelbagai ujian penilaian. Fonterra mengendalikan kira-kira 6.7 juta ujian setiap tahun merangkumi ujian dan penilaian di ladang, tenusu dan persekitaran, tanker, produk akhir juga kebersihan premis. Untuk susu saja, ia mengendalikan 3.2 juta ujian setiap tahun.

Syarikat pemproses susu antarabangsa terbesar di dunia ini memiliki Pusat Penyelidikan dan Pembangunannya sendiri di Palmerston North yang beroperasi sejak 1927. Menerusi kepakaran tahap dunia dalam sains dan teknologi tenusu, ia memiliki salah satu kemudahan inovasi tenusu terbesar di dunia yang antara lain merekodkan penemuan probiotik dan prebiotik.

Di Malaysia, selain jenama popular syarikat terbabit seperti Anmum, Anlene, Chesdale, Fernleaf dan Anchor, ramai yang tidak menyedari penggunaan bahan tenusu syarikat berkenaan dalam pelbagai sajian di restoran dan hotel. Produk tenusu di bawah kategori khidmat makanannya menerusi jenama Anchor, Perfect Italiano dan Mainland menjadi pilihan popular untuk mentega, keju dan krim oleh ramai cef profesional.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 January 2017 @ 5:02 AM