X
KANAK-KANAK dan remaja dengan kecelaruan panik mungkin rasa cemas setiap masa walaupun di luar masa serangan.
KANAK-KANAK dan remaja dengan kecelaruan panik mungkin rasa cemas setiap masa walaupun di luar masa serangan.
GABUNGAN ubatan, psikoterapi banyak membantu kanak-kanak dan remaja.
GABUNGAN ubatan, psikoterapi banyak membantu kanak-kanak dan remaja.
Nor Faizah Mohamed


Ramai yang mengalaminya namun kurang yang tahu mengenainya. Bagi yang sedar pula tidak pasti cara yang betul untuk menanganinya.

Sejak kebelakangan ini, serangan panik yang selalunya dikaitkan dalam kalangan dewasa mula dilaporkan berlaku kepada golongan muda, remaja dan kanak-kanak.

“Saya hilang kawalan diri....”, “Saya rasa seperti nak gila...”, “Saya tiba-tiba rasa takut...”, “Saya kurang tenteram...”dan “Saya sesak nafas dan rasa tekanan di dada...” adalah antara keluhan atau aduan yang lazimnya didengari dalam kalangan pesakit.

Namun selalunya aduan ini dipandang remeh oleh individu sekeliling dan paling ekstrem pun pesakit cuma dibawa ke klinik untuk mendapatkan rawatan sakit biasa.

Hakikatnya, simptom serangan panik seperti itu perlu diberi perhatian khusus kerana ia boleh mengganggu ritma kehidupan normal pesakit.

“Pesakit yang mengalami gangguan panik ini akan berasa menggeletar, sesak nafas secara tiba-tiba, degupan jantung yang kencang atau berdebar-debar tanpa sebarang punca dan berasa hampir pengsan. Biasanya simptom ini akan berlaku beberapa minit tetapi ada kes sehingga beberapa jam. Ia berlaku tanpa diduga dan boleh berulang tanpa amaran.

“Simptom lain seperti demam dan batuk pula boleh menjadi petanda kepada masalah daripada punca berbeza. Contohnya, seseorang boleh mengalami demam dan batuk jika mengalami jangkitan paru-paru serius seperti tuberkulosis.

“Ya, simptom serangan panik ini boleh dikaitkan dengan kecelaruan panik dan penyakit lain. Jadi amat penting pesakit yang menunjukkan tanda gejala ini segera mendapatkan rawatan pakar perubatan.

“Dengan cara ini kita boleh kenal pasti sejarah perubatan keluarga pesakit dan melakukan ujian yang sesuai,” kata Perunding Kanak-Kanak dan Psikiatri Remaja di Pusat Perubatan Tropicana Dr Susan Tan Mooi Koon.

Meskipun tiada data lengkap mengenai pesakit kecelaruan panik di Malaysia, lebih empat juta rakyat Amerika Syarikat (AS) mengalaminya, menurut Institut Kebangsaan Kesihatan Mental (NIMH).

Jumlah itu bagaimanapun merangkumi hanya lima peratus daripada populasi dewasa rakyat negara itu dan selebihnya golongan muda.

Ramai penyelidik berasakan walaupun jumlah ini berada di tahap rendah, ramai yang mengalami kecelaruan panik tidak menerima diagnosis betul dan terpaksa menghadapinya setiap kali dan mereka hidup seperti dalam ketakutan.

Kata Dr Susan, serangan panik ini adalah gangguan biasa dan rawatan kebanyakannya bermula ketika kanak-kanak atau remaja. Malah ia boleh dialami ahli keluarga lain. Ia bagaimanapun berkembang tanpa disedari.

“Kanak-kanak dan remaja dengan kecelaruan panik ini mungkin berasa cemas setiap masa walaupun di luar masa serangan. Kadangkala mereka cuba mengelak daripada situasi apabila serangan panik boleh berlaku atau ketika sukar mendapatkan bantuan.

“Sesetengah kanak-kanak dan remaja keberatan berjauhan daripada ibu dan bapanya. Jika keadaan bertambah buruk, mereka enggan keluar dari rumah. Dengan cara ini dapat mengelak daripada mengunjungi tempat tertentu atau situasi yang sukar mendapatkan bantuan. Keadaan ini juga dikenali sebagai ‘agoraphobia’.

“Ada sesetengah kes kanak-kanak dan remaja dengan gangguan panik ini boleh menyebabkan mereka terarah kepada kemurungan,” jelasnya.

Beberapa jenis rawatan dikenal pasti efektif bagi membantu golongan yang mengalami kecelaruan panik ini. Ubatan khusus seperti Selective Serotonin Reuptake Inhibitors atau SSRI dapat membantu dalam proses rawatannya.

“Terapi percakapan atau psikoterapi oleh kalangan profesional dalam bidang kesihatan mental juga boleh membantu mengajar golongan muda ini dan keluarga mereka kaedah berkesan untuk mengurangkan tekanan atau konflik,” ujarnya.

Selain itu, terapi terapi tingkah laku kognitif, iaitu terapi apabila golongan muda ini boleh belajar cara berfikir yang baru dan bertindak balas kepada cabaran turut berguna dalam membantu mengawal kebimbangan atau serangan panik apabila ia berlaku.

Gabungan ubatan dan psikoterapi banyak membantu ramai kanak-kanak dan remaja dengan kecelaruan panik ini. Rawatan awal boleh mencegah kemungkinan komplikasi gangguan panik lain seperti agoraphobia, kemurungan dan penyalahgunaan dadah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 January 2017 @ 5:03 AM