GAMBAR hiasan
Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Polis menahan seorang lelaki berusia 25 tahun di hadapan Balai Polis Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor, petang semalam, kerana disyaki membuat kenyataan jelik terhadap Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, melalui laman sosial Facebook (FB).

Ketua Polis Johor, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata, tangkapan itu dibuat susulan satu laporan polis berhubung penyalahgunaan laman media sosial yang diterima pihaknya pada 4.02 petang, 19 Januari lalu.

"Kita menerima satu laporan polis berhubung satu kenyataan jelik terhadap TMJ yang mana kenyataan jelik yang dikeluarkan itu boleh menggugat keharmonian serta kesejahteraan negara.

"Kita membuat tindakan susulan dengan segera terhadap laporan polis itu dan berjaya menahan seorang lelaki berusia 25 tahun dipercayai individu yang bertanggungjawab membuat kenyataan jelik berkenaan pada jam 3.30 petang di hadapan Balai Polis KLIA," katanya.

Beliau berkata, hasil daripada tangkapan itu juga, pihaknya merampas telefon bimbit dan sekeping simkad yang dipercayai digunakan oleh suspek bagi membuat kenyataan jelik terbabit.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 January 2017 @ 9:43 AM