Adnan dikhuatiri lemas. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim


Gua Musang: Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari jambatan sementara Kampung Pulau Setulu, di sini, 9 pagi tadi.

Difahamkan, mangsa Adnan Che Soh, 29, yang menunggang motosikal sebelum berlanggar dengan penunggang lain dan terjatuh serta dihanyutkan arus Sungai Nenggiri.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Rajab Ahad Ismail mengesahkan kejadian itu.

"Mangsa berasal dari Kampung Prak, di sini melalui jambatan berkenaan menghala ke Kampung Pulau Setelu.

"Ketika di atas jambatan, mangsa melanggar belakang motosikal yang ditunggang seorang kakitangan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Gua Musang berusia 44 tahun dan tercampak ke kiri jambatan.

"Dia dikatakan tidak sempat berpaut pada pemegang besi jambatan dan terjatuh ke dalam sungai. Sementara kakitangan KEMAS jatuh di kanan jambatan dan hanya luka ringan," katanya ketika ditemui di tempat kejadian, hari ini.

Rajab Ahad berkata, usaha mencari dan menyelamatkan mangsa dimulakan sejurus laporan diterima membabitkan pelbagai agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

Sehingga 1 tengah hari tadi, mangsa masih belum ditemui.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 January 2017 @ 2:45 PM