TIGA beranak mengharungi banjir dengan rakit buluh di Lhoksukon, Aceh Utara.
TIGA beranak mengharungi banjir dengan rakit buluh di Lhoksukon, Aceh Utara.

Banda Aceh: Ketua Agensi Pengurusan Bencana Aceh semalam menggesa penduduk wilayah itu supaya bersiap sedia menghadapi kemungkinan banjir sehingga Januari depan.

“Dari sekarang hingga Januari depan, penduduk perlu sentiasa bersedia menghadapi musibah banjir,” kata Said Rusli kepada wartawan ketika meninjau pusat pemindahan sementara mangsa banjir di Aceh Utara.

Menurut Said, pihak berkuasa Aceh melalui agensi berkenaan terus bekerjasama dengan pengurusan peringkat daerah dan bandar bagi menyelaraskan operasi dan untuk mengetahui perkembangan berkaitan dengan bencana itu, termasuk kejadian tanah runtuh,

Bah besar yang melanda 25 kawasan di Aceh Utara sejak beberapa hari lalu menyebabkan 100,000 penduduk terpaksa dipindahkan ke tempat selamat.

Banjir kali ini yang dianggap terbesar sejak beberapa tahun lalu, menenggelamkan beberapa kawasan sehingga dua meter.

Ketika menyampaikan bantuan kepada mangsa di bandar Lhokseumawe, Timbalan Gabenor Aceh Muzakir Manaf berkata, pemerintah Aceh sentiasa prihatin mengenai nasib pendududuk.

“Saya berharap supaya kita sentiasa bersabar dan berprasangka baik terhadap dugaan Allah SWT,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Disember 2014 @ 5:07 AM