ISKANDAR tarik diri kerana cedera.
Ferzalfie Fauzi


Sibu: Sebaik saja kejohanan Masters Malaysia berakhir kelmarin, kepincangan perseorangan lelaki jelas sekali memeningkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang mengharapkan sesuatu yang luar biasa sebaik bermulanya musim baru.

Malah Pengarah Teknikal BAM, Morten Frost Hansen sendiri mengakui masalah itu tidak akan selesai dalam tempoh singkat seterusnya menunjukkan tanda-tanda awal Malaysia berada dalam keadaan bahaya menjelang Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Selepas ketiadaan pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei dan perseorangan kedua negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin yang menarik diri akibat kecederaan, tidak ada wakil negara dalam acara itu mampu melepasi pusingan ketiga minggu lalu.

“Situasi ini memang sangat jelas, bahagian perseorangan lelaki sedang bergelut. Kami tidak mahu menyembunyikan perkara ini tapi ia tidak akan mengambil masa yang singkat untuk menyelesaikan perkara ini,” kata Frost.

Bagaimanapun, beliau masih lagi boleh memuji beberapa pemain termasuk Tan Jia Wei serta Lee Zii Jia dan R Satheishtharan.

“Ada juga yang beraksi di bawah tahap sebenar dan ia amat mengecewakan. Apa yang saya nampak ia sangat sukar buat Malaysia untuk memenangi emas di Olimpik tapi selepas dua tahun saya boleh memberitahu jawapan muktamad sama ada kita sudah bersedia atau tidak, empat tahun adalah tempoh yang sangat lama,” katanya.

Bekas jaguh perseorangan lelaki Denmark itu juga mengakui pemain muda perlu banyak belajar kerana dua tahun adalah tempoh yang sangat genting.

“Kami mempunyai kumpulan pemain muda yang bagus berusia di antara 17 hingga 19 tahun dan mereka boleh buktikan dalam tempoh beberapa tahun untuk menjadi antara 10 terbaik dunia tapi tidak semua mampu menjadi juara.

“Pemain seperti Soo Teck Zhi, Soong Joo Ven dan Chong Yee Han masih diperlukan untuk ekosistem buat pemain muda. Pemain muda yang sedang meningkat naik memerlukan persekitaran seperti itu,” katanya.

Jelasnya, ia akan mengambil masa sebelum seseorang hadir dan mendominasi sama seperti dilakukan Chong Wei serta Lin Dan dalam tempoh lapan tahun dan kedua-duanya juga adalah ikon yang tidak boleh diganti.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 January 2017 @ 10:51 AM