Sebahagian rumah penduduk yang ditenggelami banjir di Kampung Kusilad, Pitas. FOTO Lano Lan
Junaidi Ladjana


Kota Kinabalu: Setakat jam 3 petang ini, empat daripada enam pusat pemindahan sementara (PPS) di Pitas ditutup manakala jumlah mangsa di daerah berkenaan dan Paitan turut mencatatkan penurunan apabila 632 orang daripada 225 keluarga berbanding jam 9 pagi tadi 824 orang.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah Kolonel Muliadi Al Hamdi Ladin berkata, jumlah mangsa banjir di Pitas seramai 549 orang daripada 202 keluarga di dua PPS Pitas.

"Empat lagi PPS di Pitas sudah ditutup jam 3 petang tadi," katanya di sini, hari ini.

Katanya, bagi Paitan, jumlah mangsa 83 orang membabitkan 23 keluarga yang ditempatkan di dua PPS.

"Paras air di dua sungai di Pitas iaitu Sungai Kebatasan dan Bengkoka menurun manakala Sungai Labuk, Beluran, paras air kekal.

"Keadaan cuaca di dua daerah berkenaan juga cerah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 January 2017 @ 5:26 PM