Anggota bomba memecahkan lantai konkrit untuk mengeluarkan tangan mangsa yang tersangkut dalam lubang tandas. FOTO Ihsan Bomba
Fuad Hadinata Yaacob
hadinata@hmetro.com.my


Klang: Tangan kiri lelaki warga asing berusia 40-an tersangkut dalam lubang tandas ketika mengambil telefon bimbitnya yang terjatuh kira-kira jam 1 petang tadi di Bandar Baru Klang dekat sini.

Sebelum kejadian lelaki warga Bangladesh itu sedang melakukan kerja penyelenggaraan pendawaian Internet di bangunan Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Acmar, Bandar Baru Klang.

Bagaimanapun, ketika melakukan kerja itu, telefon bimbitnya terjatuh ke dalam lubang tandas menyebabkan lelaki itu mengambilnya namun tangan kirinya tidak boleh dikeluarkan.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan 1.19 petang dan sepasukan anggota serta pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Pinang bergegas ke lokasi.

"Lantai konkrit tandas itu terpaksa dipecahkan dan paip di tingkat bawah juga perlu dipotong.

"Namun ketika kerja menyelamat dilakukan lelaki itu tidak memberikan kerjasama menyebabkannya terpaksa berikan suntikan penenang oleh pasukan perubatan yang dihubungi," katanya.

Beliau berkata, pihaknya mengambil masa tiga jam setengah untuk mengeluarkan tangan mangsa.

Menurutnya, mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk rawatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 January 2017 @ 6:58 PM