AHMAD Razif (tengah) ketika tinjauan di Terminal Bas MBKT. FOTO Imran Makhzan


Kuala Terengganu: Pemilik kenderaan akan dibenarkan parkir sementara berurusan dengan beberapa bank di sekitar Jalan Sultan Ismail, di sini, selepas 6 petang bagi mengelak daripada berlakunya kesesakan di kawasan itu.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, orang ramai dilarang parkir di tepi jalan sekitar laluan berkenaan pada waktu puncak antara 6 pagi hingga 6 petang.

Menurutnya, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) akan menempatkan anggota penguat kuasa dan juga papan tanda di kawasan berkenaan bagi memberi makluman kepada orang ramai terutamanya pelanggan bank di sekitar jalan itu.

"Kerajaan negeri memang ada menerima banyak rungutan mengenai masalah kesesakan di kawasan itu berikutan sikap pengguna kenderaan parkir di tepi jalan terbabit.

"Oleh itu, kita akan buat ketetapan dengan tidak membenarkan kenderaan parkir di kawasan berkenaan pada waktu puncak dan hanya beri kelonggaran untuk meninggalkan kereta mereka untuk seketika di tepi jalan terbabit selepas 6 petang hingga 6 pagi sahaja," katanya ketika meninjau perubahan aliran lalu lintas berhampiran Terminal Bas MBKT, di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 January 2017 @ 7:55 PM