NAWI (tiga kiri) diiringi Pengarah KPDNKK Negeri, Azlan Abdul Samat (kanan) meninjau harga barang selepas melancarkan skim kawalan harga musim perayaan Tahun Baru Cina 2017. FOTO Ghazali Kori
Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Bekalan udang putih besar dan ikan bawal putih di Terengganu dijangka berkurangan menjelang perayaan Tahun Baru Cina hujung minggu ini berikutan nelayan tidak dapat ke laut.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri, Nawi Mohamad berkata, dua barangan berkenaan adalah antara 12 barang yang tersenarai sempena Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baru Cina 2017 bermula 23 Januari hingga 3 Februari ini.

"Berdasarkan skim kawalan, udang putih besar dijual dengan RM34 sekilogram (harga borong) dan RM39 (harga runcit) manakala ikan bawal putih pula dijual dengan harga RM35 (harga borong) dan RM38 (harga runcit).

"Bagaimanapun, kita dapati stok dua barangan ini agak berkurangan di pasaran dan sehingga kini, kita tidak mempunyai cara untuk mengatasi masalah ini kerana nelayan tidak dapat ke laut kerana tengkujuh.

"Kita harap pengguna bersabar walaupun ia antara barangan yang selalu digunakan masyarakat Cina ketika perayaan mereka.

"Mengenai kesan kepada harga berikutan kekurangan bekalan, pengguna tidak perlu bimbang kerana ia termasuk dalam skim kawalan. Walaupun penawaran berkurangan, penjual perlu mengikut harga yang ditetapkan," katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baru Cina 2017 di Pasaraya The Store Kampung Tiong, di sini, hari ini.

Selain udang putih besar dan ikan bawal putih, 10 barangan lain yang tersenarai adalah ayam hidup, ayam standard, ayam super, telur ayam gred A, telur ayam gred B, telur ayam gred C, kubis bulat import, bawang putih (China), daging babi (perut) dan daging babi (daging dan lemak).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 January 2017 @ 8:26 PM