MANAS ketika dibawa ke mahkamah bagi berdepan tuduhan terbabit dalam sindiket penyeludupan manusia. - AFP
MANAS ketika dibawa ke mahkamah bagi berdepan tuduhan terbabit dalam sindiket penyeludupan manusia. - AFP
AFP

Bangkok: Berpuluh-puluh tertuduh termasuk seorang jeneral tentera yang didakwa kerana terbabit dalam sindiket penyeludupan manusia dibawa ke sebuah mahkamah di sini semalam bagi memulakan proses membela diri mereka.

Bagaimanapun, semua media diharamkan daripada membuat laporan mengenai prosiding perbicaraan berkenaan.

Thailand sudah lama menjadi hab perdagangan dan penyeludupan manusia dengan pegawai dituduh sengaja tidak mengambil tindakan terhadap aktiviti berkenaan.

Kerajaan melancarkan operasi besar-besaran pada 2015 dan menahan ramai suspek susulan penemuan kubur besar di kem penyeludupan manusia di sempadan Thailand-Malaysia.

Bagaimanapun, tindakan itu menutup laluan penyeludupan menyebabkan ribuan imigran terutama Rohingya dari Myanmar dan Bangladesh ditinggalkan anggota sindiket di darat serta laut.

Lebih 80 suspek termasuk pegawai tempatan dan jeneral tentera, Manas Kongpan hadir di mahkamah jenayah di sini bagi membela diri atas pelbagai tuduhan berkaitan perdagangan manusia.

Wartawan hanya melihat prosiding itu melalui televisyen di sebuah bilik bersebelahan kamar mahkamah.

Namun, pegawai mahkamah memberitahu wartawan sebarang laporan mengenai perbicaraan itu diharamkan sejak prosiding bermula pada tahun lalu.

Tiada alasan diberi untuk arahan berkenaan.

Sejak tentera merampas kuasa pada 2014, perbicaraan secara tertutup sudah menjadi kebiasaan
terutama di mahkamah tentera dan kes berkaitan penghinaan terhadap raja.

Tetapi kes berkaitan jenayah jarang dikenakan perintah berkenaan.

Pembabitan seorang pegawai tentera dalam sindiket itu dipercayai menjadi punca perbicaraan tertutup dijalankan bagi menjaga nama baik junta.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 January 2017 @ 8:32 AM