KHAZRI (kiri) dicabar pemain Zimbabwe Marvelous Nakamba.
AFP

Libreville: Tunisia membenam Zimbabwe 4-2 di Gabon kelmarin sekali gus melangkah ke suku akhir Piala Negara Afrika sambil skuad bintang Algeria tersingkir di peringkat kumpulan.

Naim Sliti, Youssef Msakni, Taha Yassine Khenessi dan Wahbi Khazri masing-masing menjaringkan gol di Libreville ketika Tunisia muncul pasukan pertama di pusingan akhir 2017 yang menjaringkan empat gol dalam satu perlawanan.

Algeria pula seri 2-2 dengan skuad kedua Senegal di Franceville dan pada masa sama, bintang penyerang Islam Slimani akhirnya menemui sentuhan jaringan.

Ia adalah keputusan seri kedua buat Algeria yang turut digelar ‘Musang Padang Pasir’ itu selepas melakar keputusan serupa ketika menentang Zimbabwe selain tewas 1-2 di tangan Tunisia pada perlawanan pertama.

Sebelum kejohanan bermula, pemerhati meletakkan Algeria selaku antara pasukan pilihan apatah lagi diperkuatkan dengan kehadiran Pemain Terbaik Tahunan Afrika Riyad Mahrez, Slimani dan Yacine Brahimi.

Kebimbangan mengenai kekuatan benteng pertahanan Algeria akhirnya menjadi kenyataan apabila mereka melepaskan dua gol dalam setiap perlawanan kumpulan.

Senegal yang menurunkan barisan simpanan - tidak seperti janji jurulatih Aliou Cisse yang berhasrat menurunkan kesebelasan utama - menyamakan kedudukan menerusi Papa Diop dan Moussa Sow.

Senegal sah menduduki tangga teratas Kumpulan B dengan tujuh mata diikuti Tunisia (enam), Algeria (dua) dan Zimbabwe (satu).

Senegal kekal di Gabon untuk berdepan Cameroon, Sabtu ini, tiga jam selepas Burkina Faso dan Tunisia bertembung di suku akhir pertama di Libreville.

Cameroon mengatasi Senegal menerusi penalti di final 2002 yang berlangsung di Mali manakala Burkina Faso turut menang menerusi penalti ketika mengalahkan Tunisia di suku akhir 1998.

Ghana turut melangkah ke kelompok lapan terakhir dan tiga lagi pasukan yang mara ke peringkat itu akan ditentukan hari ini.

Semua pasukan di Kumpulan C - Democratic Republic of Congo, Maghribi, juara bertahan Ivory Coast dan Togo – berpeluang layak ke peringkat kalah mati.

Di dalam Kumpulan D, sama ada juara tujuh kali Mesir atau Mali akan mengiringi Ghana ke suku akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 January 2017 @ 9:28 AM