WENGER (kiri) berang dengan tindakan pengadil menghadiahkan penalti kepada Burnley.
AFP

London: Pengurus Arsenal Arsene Wenger berdepan pertuduhan salah laku selepas beliau bertelagah dengan pegawai keempat pada perlawanan yang berkesudahan pasukannya menang 2-1 ke atas Burnley, Ahad lalu.

Pengendali veteran Perancis itu diarahkan meninggalkan kawasan teknikal oleh pengadil Jon Moss selepas beliau berang apabila Burnley dihadiahkan penalti dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pegawai keempat Anthony Taylor.

Wenger, 67, masih cuba menyaksikan detik-detik terakhir perlawanan menerusi terowong laluan pemain di Stadium Emirates dan rakaman televisyen menunjukkan beliau menolak Taylor ketika diarah untuk memasuki terowong berkenaan.

Arsenal memenangi perlawanan itu 2-1 selepas Alexis Sanchez menyempurnakan penalti minit akhir selepas jaringan Andre Gray menafikan kelebihan tuan rumah yang meledak gol menerusi Shkodran Mustafi.

Wenger yang menjadi pengurus Arsenal sejak 1996, memohon maaf atas tindakannya selepas perlawanan tetapi ia tidak menghalang beliau daripada dikenakan hukuman oleh persatuan bola sepak (FA) Inggeris.

“Arsene Wenger dikenakan tuduhan atas salah laku pada perlawanan Arsenal menentang Burnley yang berlangsung pada 22 Januari 2017,” kata satu kenyataan yang dikeluarkan badan induk itu.

“Tuduhan menyebut sekitar minit ke-92 perlawanan, beliau mengeluarkan perkataan tidak wajar terhadap pegawai perlawanan keempat.

“Beliau juga berdepan hukuman kerana selepas diarahkan meninggalkan kawasan teknikal, kelakuannya tetap tidak wajar dan menyentuh tubuh pegawai keempat secara kasar.

“Beliau diberi tempoh hingga jam 6 petang (waktu tempatan) 26 Januari 2017 untuk menjawab tuduhan berkenaan.”

Selepas kemenangan yang melonjakkan Arsenal ke tangga kedua liga, Wenger meluahkan kekesalannya berhubung tindakan berkenaan.

Ketika ditanya mengenai tindakannya yang menolak Taylor, Wenger berkata: “Saya kesal atas semua yang berlaku. Saya sepatutnya mendiamkan diri, masuk ke terowong dan pulang. Saya memohon maaf atas kesalahan itu.

“Saya diarahkan berada di tempat duduk penonton. Saya tidak tahu bahawa saya diarahkan berbuat demikian kerana saya fikir saya perlu keluar dari kawasan padang. Saya fikir mungkin saya boleh melihat perlawanan dari tepi.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 January 2017 @ 9:33 AM