Sebahagian laluan jalan raya sekitar Kampung Kusilad, Pitas, mulai surut. FOTO LANO LAN
Syah Rul Aswari Abdullah dan Mohd Ruzaini Zulkepli

Kota Kinabalu: Mangsa banjir di Sabah yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) berkurangan kepada 624 orang pada 9 pagi ini berbanding 632 orang pada 5 petang semalam.

Mangsa daripada 221 keluarga di dua daerah, Pitas dan Paitan ditempatkan di empat PPS

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah Kolonel Muliadi Al Hamdi Ladin berkata, jumlah mangsa banjir di Pitas seramai 549 prang daripada 202 keluarga ditempatkan di dua PPS.

Katanya, bagi daerah Paitan, 75 mangsa daripada 19 keluarga ditempatkan di dua PPS.

"Cuaca di dua daerah itu masih mendung dengan adakalanya hujan lebat serta hujan renyai di beberapa kawasan, " katanya.

Sementara itu, tujuh sekolah di Pitas dan Beluran masih ditutup kerana banjir, kata Pengarah Jabatan Pendidikan Sabah, Datuk Maimunah Suhaibul.

Beliau berkata, semua membabitkan sekolah kebangsaan (SK) dengan 1,112 murid dan 89 guru.

"Di Beluran, sekolah yang ditutup adalah SK Lubang Buaya, SK Golong, SK Binsulung, SK Tanjung Nipis di daerah Beluran.

"Manakala di Pitas membabitkan SK Kusilad, SK Salimpodon dan SK Pinapak.

"Sebuah sekolah iaitu SK Pitas II pula masih dijadikan sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS) tetapi sesi persekolahan masih berjalan seperti biasa," katanya, di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 January 2017 @ 10:09 AM